Siti Nadirah Hafidzin


KOS sara hidup yang meningkat saban hari membuatkan wanita era kini perlu bijak mencari ruang dan peluang dalam membantu perbelanjaan harian keluarga.

Golongan itu tidak lagi hanya duduk di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan ditambah dengan kewujudan perniagaan atas talian yang ternyata sangat membantu.

Untuk tujuan itu, baru-baru ini, Plaza Shah Alam dengan kerjasama Orkid DD Enterprise menganjurkan bengkel gubahan jambangan belon dan coklat khusus untuk suri rumah atau wanita bekerjaya yang berhasrat mahu menambah pendapatan sendiri atau keluarga.

WAJAH ceria sebahagian peserta bersama gubahan masing-masing.
WAJAH ceria sebahagian peserta bersama gubahan masing-masing.

Pengusaha Orkid DD Enterprise yang juga wakil penganjur, Saliza Samsudin berkata, program terbabit diadakan bagi memberi pendedahan kepada golongan sasaran mengenai teknik asas dalam penghasilan gubahan terkini dengan cara lebih kreatif.

“Umum mengetahui terdapatnya permintaan untuk gubahan coklat atau belon yang sering dijadikan hadiah membuatkan wujudnya peluang untuk menjana pendapatan melalui perniagaan itu.

“Syukur, lebih 30 wanita menyertai kelas gubahan ini yang mana rata-ratanya memasang impian untuk menambah pendapatan melalui perniagaan gubahan,” katanya yang turut menghasilkan pelbagai jenis gubahan di kedainya di Plaza Shah Alam.

Saliza berkata, pihaknya memberi tunjuk ajar bermula daripada proses meniup belon, menampal pelekat di atas belon, memasukkan belon kecil dalam belon lebih besar dan menyusun coklat serta bunga di dalam kotak dengan cara lebih kreatif.

PESERTA gembira dapat menzahirkan kreativiti.
PESERTA gembira dapat menzahirkan kreativiti.

“Kami begitu teruja melihat setiap peserta sangat bersemangat untuk mempelajari ilmu dan tunjuk ajar diberikan sepanjang program berlangsung.

“Lebih menarik semua peserta mampu menghasilkan gubahan belon, bunga dan coklat yang cantik di akhir program,” katanya yang menunjukkan hasil gubahannya di Instagram orkid_dd.

Tambah Saliza, walaupun ada beranggapan proses menyediakan gubahan tidak sukar namun hakikatnya ia tidak semudah disangka apatah lagi untuk menghasilkan gubahan mengikut cita rasa terkini.

“Kami memberi tunjuk ajar kepada setiap peserta untuk menghasilkan gubahan belon dan coklat yang lain daripada lain, lebih penting mampu menarik minat pelanggan untuk menempahnya pada masa akan datang.

PESERTA menyiapkan gubahan masing-masing.
PESERTA menyiapkan gubahan masing-masing.

“Menerusi pengalaman ini, kami berharap setiap peserta dapat mencapai objektif diinginkan, sekali gus mampu memulakan perniagaan gubahan ini secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 7:00 AM