SALMI sering memeriksa keadaan bunga orkid.
SALMI sering memeriksa keadaan bunga orkid.
Muhamaad Razis Ismail


Bermula sekadar hobi menanam pokok bunga orkid, kini kediamannya yang terletak di Hulu Langat, Selangor itu bagaikan taman bunga.

Tidak hairanlah kediaman Salmi Mohd, 58, sering menjadi perhatian ramai untuk melihat bunga orkid subur dan segar dengan pelbagai corak, warna dan bentuk daun yang berbeza sekali gus membentuk landskap yang cukup unik lagi mendamaikan mata.

Untuk mengenal pasti kediamannya cukup mudah apabila hanya perlu mencari halaman yang dipenuhi pokok bunga orkid yang berwarna-warni.

Antara orkid yang ditanam termasuk Doritis, Cattleya dan Mokara.

Salmi berkata, dia mula menanam pokok bunga orkid di kediamannya sejak 20 tahun lalu sebagai mengisi masa lapang.

Katanya, dia sangat gemar menanam pelbagai jenis pokok termasuk pokok bunga dan sayur-sayuran untuk memanfaatkan ruang di sekitar rumahnya.

POKOK bunga orkid menjadi landskap menarik.
POKOK bunga orkid menjadi landskap menarik.

"Antara yang paling saya gemari ialah menanam pokok bunga orkid kerana ia memiliki pelbagai bentuk, corak dan warna sekali gus dapat mencantikkan landskap persekitaran rumah.

"Selain itu, kelebihan bunga ini juga boleh ditanam sama ada di dalam pasu atau terus di atas tanah.

"Pada masa sama, bunga ini juga mampu mengeluarkan bau yang harum seolah-olah aroma terapi semula jadi di persekitaran rumah," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, pokok bunga orkid ini diperoleh sama ada dicari di hutan atau dibeli daripada rakan.

PHALAENOPSIS Hybrid.
PHALAENOPSIS Hybrid.

Jelasnya, untuk penjagaan pokok bunga orkid, dia banyak menggunakan kaedah tradisional yang lebih mudah dan menjimatkan.

"Setiap jenis pokok memerlukan penjagaan berbeza sama ada air, baja, racun dan sebagainya supaya ia sentiasa subur serta segar.

"Untuk mencegah haiwan perosak seperti ulat, saya gunakan air yang dikisar bersama bawang putih dan dicampur dengan sabun pencuci pinggan sebelum disiram pada pokok.

"Seminggu sekali saya akan tabur baja organik daripada campuran kulit pisang, kulit telur, kulit bawang yang dikisar untuk bantu pertumbuhan pokok," katanya.

ONCIDIUM.
ONCIDIUM.

Katanya, setiap hari, dia akan memperuntukkan masa untuk memastikan pokok bunga orkidnya sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Biasanya saya akan belek pokok selama beberapa jam untuk pastikan tiada serangga perosak, bersihkan pasu dan sebagainya.

"Ia juga menjadi terapi dan memberi kepuasan kepada saya apabila melihat pokok bunga yang dijaga sejak kecil dapat hidup subur," katanya.

Dia turut berkongsi nasihat kepada yang ingin menjadikan pokok bunga orkid sebagai landskap di rumah supaya bermula dengan pokok yang murah.

DENDROBIUM Enobi.
DENDROBIUM Enobi.

"Belajar teknik penjagaan yang betul supaya pokok dapat hidup subur dan apabila sudah mahir, anda boleh dapatkan pokok bunga orkid yang lebih mahal di pasaran.

"Maklumat mengenai pokok bunga orkid boleh didapati sama ada daripada peminat pokok ini atau di Internet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:10 AM