Redzuan Muharam


Shah Alam: Demi menyara ibu dan tiga anaknya, Zaiton Kamarudin berusaha mencari rezeki dengan mengambil tempahan membuat gubahan duit dan bantal bunga ros sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Bukan setakat itu, Zaiton, 45, yang berstatus ibu tunggal juga sanggup menyarung kostum ketika membuat penghantaran dan memberi kejutan kepada penerima hadiah bagi mewakili pelanggan.

Bercerita lanjut, dia berkata, kerjanya itu memerlukan ketelitian dan lazimnya, dia menghabiskan masa selama dua jam untuk menyiapkan gubahan yang ditempah oleh pelanggan.

Katanya, tempoh lebih lama diperlukan jika membabitkan gubahan wang atau bunga dan bantal dalam kuantiti yang banyak.

"Selepas berpisah dengan bekas suami, saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah klinik dan pembantu di kedai makan.

"Biarpun agak terkejar kerana perlu menghantar anak ke sekolah, saya lakukan juga kerana itu sumber pendapatan yang ada pada waktu berkenaan.

"Selepas pelaksanaan PKP tahun lalu, saya cari jalan lain untuk menambah pendapatan dan nampak kerjaya sebagai penggubah hadiah serta perancang kejutan boleh memberi pulangan jadi cuba lakukannya. Alhamdulillah, ada sambutan daripada pelanggan," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Seksyen 17, di sini.

ZAITON mengambil perkhidmatan mengubah cenderahati seperti bunga, coklat dan buah. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ZAITON mengambil perkhidmatan mengubah cenderahati seperti bunga, coklat dan buah. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Mengenai pemakaian kostum, Zaiton tidak menafikan malu untuk menyarung persalinan itu pada mulanya.

Bagaimanapun, dia cuba membiasakan dirinya dan akhirnya seronok kerana dapat menghiburkan orang lain dengan cara itu.

"Mula-mula memang malu kerana tidak biasa namun lama-kelamaan perasaan segan itu hilang. "Sebaliknya, saya pula yang teruja setiap kali melihat kegembiraan terpancar pada wajah penerima.

"Cuma, cabarannya tetap ada antaranya perlu memakai kostum dalam waktu yang tidak menentu dan bersiap sendiri kerana tiada pembantu," katanya.

Menurutnya, selagi termampu dan mendapat kepercayaan pelanggan, dia akan terus menggunakan kreativiti serta kemahiran yang ada untuk mencari rezeki.

"Saya ada tanggungjawab besar malah menjadi ibu dan bapa bagi anak-anak.

"Jadi, mahu atau tidak saya perlu mencari rezeki untuk memastikan anak dan emak mendapat keperluan secukupnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:00 PM
ZAITON memakai kostum untuk kejutan kepada pelanggannya. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ZAITON memakai kostum untuk kejutan kepada pelanggannya. FOTO Muhd Asyraf Sawal