AIR micellar baik untuk tanggalkan kesan solekan sederhana.
AIR micellar baik untuk tanggalkan kesan solekan sederhana.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


RAMAI yang taasub mahu cantik hingga berani mencuba apa saja produk kecantikan di pasaran. Namun ramai juga wanita yang mengambil langkah berjaga-jaga, tidak kisah dengan penampilan sederhana asalkan mereka tidak menggunakan produk tidak diketahui kandungannya bagi mengelak sebarang risiko tak diingini.

Ini adalah dua kategori wanita di dunia realiti masa kini, masing-masing mahu tampil cantik, namun yang membezakannya adalah cara berfikir dan tindakan diambil terutama dalam mengetahui fungsi sebenar produk yang dicuba.

Atas sebab itu, sangat penting untuk mempunyai sekurang-kurangnya sedikit maklumat mengenai apa saja produk kecantikan yang berada di pasaran bagi mengelak menjadi mangsa kejahilan sendiri.

Seiring permintaan menggalakkan itu, satu persatu produk kecantikan sama ada kosmetik mahupun penjagaan wajah bertaraf antarabangsa dan tempatan bertambah di pasaran saban hari.

Kewujudan air micellar satu daripadanya. Jika ditanya kepada umum, mungkin peratusan individu yang tahu mengenai fungsi sebenarnya sangat rendah. Mungkin ada yang menganggap ia pembersih wajah, namun ada juga yang beranggapan ia berfungsi sebagai penghilang solekan juga tidak kurang masih ramai langsung tak tahu mengenainya.

Memberi penjelasan mengenai air micellar, dermatologi kosmetik, Dr Alina Hasni Mohamad Rashid berkata, ramai wanita negara ini yang masih tidak mengetahui fungsi sebenar air

micellar.

“Mungkin ramai yang sedar kewujudannya tetapi tidak tahu apa fungsinya, tak kurang juga ada yang langsung tidak tahu mengenai air itu. Air micellar sebenarnya adalah pembersih yang dihasilkan daripada micelle iaitu molekul kecil dicampur dengan air untuk membersihkan kekotoran di wajah disebabkan ia mempunyai satu komponen yang mampu memerangkap kotoran.

TIDAK sesuai untuk individu memiliki kulit terlalu sensitif atau kering.
TIDAK sesuai untuk individu memiliki kulit terlalu sensitif atau kering.

“Pada masa sama, ia berfungsi memerangkap kekotoran dalam bentuk bulatan sebelum wajah dicuci. Dalam kata

mudah, air micellar ini berfungsi seperti penanggal solekan yang boleh dibilas atau tidak dan dihasilkan berasaskan molekul air bukan minyak,” katanya.

Menurutnya, secara asasnya, ia berfungsi sebagai pembersih wajah baik bagi menanggalkan kesan solekan sederhana bukan untuk solekan tebal yang lebih sesuai dihilangkan menggunakan pembersih jenis minyak.

“Sehingga kini tiada kesan negatif penggunaannya dilaporkan kerana ia digunakan untuk mencuci solekan bukannya diletakkan di dalam pelembap atau penyegar wajah.

“Ini teknologi kecantikan mudah yang tidak mendatangkan kesan mudarat, namun individu yang mempunyai kulit jenis terlalu sensitif atau kering tidak digalakkan menggunakan air micellar,” katanya.

CUCI WAJAH SELEPAS GUNA

Dr Alina Hasni berkata, walaupun ada yang menyatakan wajah tidak perlu dibilas selepas penggunaannya, sebaik-baiknya bilas muka dengan air.

“Langkah itu dirasakan lebih sesuai dan berkesan kerana kulit wajah akan menjadi lebih bersih dan segar sebaik saja dicuci menggunakan air.

“Bagi saya, tidak salah menggunakan air micellar terutama individu yang memiliki kulit wajah normal kerana ia berperanan seperti pembersih dan penanggal solekan berasaskan air yang bersifat ringan serta selamat,” katanya.

Namun sekiranya pengguna mengalami sebarang kesan negatif pada wajah, Dr Alina

Hasni menasihatkan supaya berhenti menggunakannya dan segera berjumpa doktor atau pakar kulit untuk pemeriksaan.

Sementara itu, seorang pengguna air micellar, Arifa Farisha Azman berkata, dia sudah menggunakannya sejak setahun lalu khususnya untuk menanggalkan kesan solekan harian.

“Saya lebih tertarik menggunakannya berbanding penanggal solekan jenis minyak disebabkan kesannya yang lembut dan semula jadi.

“Selain itu, penggunaannya juga menjadikan kesan solekan lebih mudah tanggal termasuk pada bahagian mata dan bibir,” katanya.

Namun, menurut Arifa Farisha, dia akan membilas wajahnya menggunakan air bersih setiap kali selepas menggunakan air micellar.

“Walaupun wajah sudah terasa bersih dan bebas daripada kotoran termasuk kesan solekan, saya tetap bersihkannya sekali lagi menggunakan air bersih.

“Ini kerana saya pernah mengalami sedikit alahan seperti timbul kemerah-merahan di pipi pada awal penggunaannya. Untuk mengelakkannya berulang, saya ambil pendekatan mudah membilas muka dengan air,” katanya.

FUNGSI AIR MICELLAR

- Menyingkirkan kesan solekan lebih semula jadi

- Membersihkan kotoran yang melekat pada permukaan kulit wajah

- Membersihkan pori dengan lebih efektif supaya tidak tersumbat

- Mengurangkan risiko pembentukan jerawat, bintik putih dan bintik hitam

- Menyingkirkan sel kulit mati. Ia secara tidak langsung merangsang proses pembentukan sel baharu

- Membantu kulit untuk bernafas dengan lebih baik kerana pori tidak tersumbat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:30 AM