TASIK Thunersee di Interlaken.
TASIK Thunersee di Interlaken.
Nurul Aina Amran

Segala puji ke hadrat Ilahi atas nikmat dan kesempatan kepada penulis serta keluarga kerana Februari lalu berpeluang menghayati keindahan alam antara negara tercantik Eropah iaitu Switzerland.

Pengembaraan bersama Kembara Sufi memudahkan lagi percutian kami sekeluarga ke negara yang terletak di Eropah Tengah itu yang memakan masa 14 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Setibanya di negara yang tidak berpantai itu, kami terus menuju Rhine Falls yang terletak antara kanton Schaffhausen dan Zurich di utara Switzerland.

Dikenali sebagai air terjun terbesar di Eropah, Rhine Falls memiliki ketinggian 23 meter dan lebar 150 meter. Menghampiri wilayah Jerman, lawatan kami diteruskan ke tasik semula jadi terbesar di bahagian selatan hutan simpan Black Forest iaitu Tasik Titisee yang terbentuk dari glasier ais sejak 10,000 tahun lalu.

Sempat bermalam di wilayah Jerman, keesokannya baru bermula pengembaraan kami di negara yang terkenal sebagai antara negara yang memiliki kos hidup termahal dunia itu.

Melewati perjalanan di kanton Aargau, kami singgah di bandar Aaburg yang menempatkan sebuah istana lama yang dibina seawal abad ke-12.

Istana Aaburg yang terletak tinggi di lereng bukit berbatu yang curam ini adalah tapak warisan Switzerland, namun kini berperanan sebagai pusat tahanan dan pemulihan pesalah juvana.

Seterusnya, lawatan diteruskan ke tengah Switzerland dengan menuju tasik terbesar di Bernese Oberland iaitu Tasik Thunersee (Thun) yang terletak antara Interlaken dan Thun.

Kunjungan kami kemudian diteruskan pula ke Nature Park Blausee yang terletak di kanton Bern, ibu negara Switzerland. Ia terkenal sebagai antara tasik yang begitu jernih sehingga menampakkan ikan trout berenang-renang di dasarnya.

TASIK Blausee di Bern.
TASIK Blausee di Bern.

Warna tasik juga sangat bergantung kepada keadaan warna pokok dan warna langit. Kejernihan tasik yang berubah antara warna biru dan hijau dengan dikelilingi keindahan taman semula jadi menjadikan Tasik Blausee sebagai lokasi wajib dikunjungi di Switzerland.

Hari berikutnya, kami berkesempatan mengunjungi perkampungan nelayan yang terkenal di Switzerland. Kawasan yang hanya ada 400 rumah ini dikenali sebagai Kampung Iseltwalt dan terletak di tepian antara tasik yang tercantik di Switzerland iaitu Tasik Brienz.

Lebih mengujakan, Tasik Brienz yang juga terletak di kanton Bern dengan airnya yang berwarna biru kehijauan itu pernah menjadi lokasi penggambaran bagi filem Korea, Crash Landing on You.

PENULIS dan keluarga di Tasik Brienz, lokasi penggambaran filem Korea, Crash Landing on You.
PENULIS dan keluarga di Tasik Brienz, lokasi penggambaran filem Korea, Crash Landing on You.

Kunjungan seterusnya adalah ke kawasan perkampungan antara yang antara paling cantik di Switzerland iaitu Lauterbrunnen.

Dengan dikelilingi gunung-ganang dan kehijauan flora fauna, rumah yang dibina di kampung ini juga kelihatan teratur dan kemas sesuai dengan kedudukan geografi kampung Lauterbrunnen terletak di Banjaran Swiss.

Bukan itu sahaja, kawasan kampung ini turut memiliki 72 air terjun di pergunungan yang setiap satunya menghasilkan panorama mengagumkan.

Selepas itu, pemandangan yang memukau mata diteruskan dengan menaiki kereta kabel dan tren ke kawasan gunung Switzerland yang terletak di kaki puncak Schilthorn.

Lokasi pergunungan Murrren yang dilitupi salji halus dan lembut ini mula tercatat dalam lembaran sejarah sejak abad ke-13 dan menjadi lokasi kejuaraan ski tertua dunia yang berlangsung sekitar 1928.

Tidak hanya setakat itu, percutian ke Switzerland juga mengizinkan kami menaiki tren Glacier Express untuk menikmati keindahan kawasan pergunungan memutih di Zermatt yang terletak di kaki Gunung Mattherhorn.

Bandar bebas kenderaan bahan api yang terletak di bahagian selatan bersempadan dengan Itali ini turut menyediakan pemandangan gunung berketinggian 3089 meter iaitu Matterhorn yang terkenal sebagai satu daripada gunung paling banyak diambil gambarnya.

Hal ini kerana puncak gunung itu yang menghiasi pembalut coklat Tobleron, sekali gus menjadikannya sebagai satu daripada gunung popular di dunia!

Percutian ke Switzerland juga membolehkan kami menikmati keindahan salji di gugusan Banjaran Swiss iaitu Gunung Titlis yang berketinggan 3,020 meter.

Di sini, kami berkesempatan bermain aktiviti salji dan turut berpeluang mengamati keindahan pergunungan salji yang tebal melalui jambatan gantung tertinggi dunia yang dibuka secara rasmi pada 2012. Bahkan, jalur kabel yang menuju puncak Gunung Titlis ini turut dikenali sebagai jalur kabel berputar pertama di dunia.

Selain sarat dengan keindahan panorama, negara ini turut kaya dengan nilai sejarah untuk dipertontonkan. Antaranya adalah monumen 'singa' menyayat hati di kanton Lucerne, Switzerland.

Tugu singa sebagai lambang keberanian yang diperbuat daripada batu, tetapi kelihatan hidup ini adalah bagi memperingati 760 tentera Swiss yang terkorban saat mempertahankan Istana Tuileries ketika Revolusi Perancis.

MONUMEN Singa di Lucerne.
MONUMEN Singa di Lucerne.

Di samping itu, kawasan perbandaran Lucerne yang dikenali sebagai 'Heart of Switzerland'

turut menempatkan jambatan kayu tertua di Eropah iaitu The Chapel Bridge yang turut berperanan sebagai simbol kepada bandar raya Lucerne.

Tidak ketinggalan, lokasi terakhir kami ialah mengunjungi bandar raya terbesar Switzerland.

Bandar yang tidak asing sebagai pusat perbankan dan kewangan iaitu Zurich ini juga pernah dinobatkan sebagai bandar raya yang mempunyai kualiti hidup terbaik dunia pada 2006 dan 2007.

Di sini turut menempatkan pemandangan Tasik Zurich dan beberapa bangunan lama yang masih indah seni binanya termasuk Town Hall yang dibina sekitar abad ke-17.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 7:00 AM