TAMAN Rekreasi Gunung Lang menanti mengunjung dengan keunikan tersendiri.
TAMAN Rekreasi Gunung Lang menanti mengunjung dengan keunikan tersendiri.
Suliati Asri


Merehatkan minda dengan melihat pemandangan menghijau ditambah dengan udara yang segar cukup mendamaikan.

Angin sepoi-sepoi yang bertiup lembut bagaikan membawa bersama kekusutan yang dirasai. Keindahan landskap dan tasik yang terbentang luas dan dipenuhi pelbagai jenis ikan juga menambahkan keterujaan.

Itulah yang pastinya dirasai saat berkunjung ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh, Perak.

Terletak di utara pusat bandar raya Ipoh, kawasan ini merangkumi taman seluas 30.35 hektar dan tasik seluas 14.16 dengan berlatarbelakangkan bukit batu kapur Gunung Lang dan Gunung Bilike.

Dibangunkan berkonsepkan pelancongan eko yang meminimumkan pembangunan infrastruktur bagi mengekalkan keunikan flora dan faunanya yang cantik, taman rekreasi nyata memberikan keterujaan buat pengunjung yang datang.

MENAIKI bot mengelilingi tasik buatan sambil menikmati kehijauan bukit batu kapur cukup mendamaikan.
MENAIKI bot mengelilingi tasik buatan sambil menikmati kehijauan bukit batu kapur cukup mendamaikan.

Taman ini dilengkapi tiga tasik buatan yang dipenuhi pelbagai spesies ikan air tawar.

Terasa damai saat menikmati keindahan alam semula jadi dan bukit batu kapur dengan menaiki bot mengelilingi tasik.

Selain menaiki bot, pengunjung juga boleh menghayati keindahan landskap dengan mengikuti laluan pejalan kaki yang meliputi keseluruhan taman yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk wakaf terapung, rumah tradisi Perak dan menara pandang jauh.

Menariknya, anda juga boleh melihat pelbagai spesies heliconia (sepit udang), musa (pisang) dan bougainbillea (bunga kertas). Kebanyakan spesies bunga ini sukar didapati dan hanya tumbuh meliar di tengah hutan di luar negara.

SUASANA menghijau yang disajikan di Taman Rekreasi Gunung Lang mempesonakan.
SUASANA menghijau yang disajikan di Taman Rekreasi Gunung Lang mempesonakan.

Bagi yang datang bersama si kecil, taman ini turut menyediakan taman permainan kanak-kanak yang lengkap dan tapak perkhemahan.

Kawasan rekreasi Gunung Lang ini memiliki pelbagai keistimewaan lain antaranya air terjun buatan manusia selain menawarkan pelbagai aktiviti riadah lain seperti memancing, mendaki bukit, merentas belukar, menjelajah gua dan banyak lagi.

Justeru, bagi anda yang mencari destinasi menarik pada hujung minggu yang mendamaikan, Taman Rekreasi Gunung Lang pastinya tidak akan mengecewakan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 12:02 PM