PEKAN Engelberg.
PEKAN Engelberg.
AYA dan Nana di Stesen Zurich.
AYA dan Nana di Stesen Zurich.
SUASANA di dalam kereta api laju dari Zurich ke Lucerne.
SUASANA di dalam kereta api laju dari Zurich ke Lucerne.
PEMANDANGAN dari Ice Flyer.
PEMANDANGAN dari Ice Flyer.
BERJALAN ke puncak Tomlishorn.
BERJALAN ke puncak Tomlishorn.
DI puncak Mount Titlis.
DI puncak Mount Titlis.
PEMANDANGAN gunung di Engelberg sebelum bergerak ke puncak Mount Titlis.
PEMANDANGAN gunung di Engelberg sebelum bergerak ke puncak Mount Titlis.
Rozekruzaini (Rozek) Ahmad Tajuddin


Untuk menjelajah gunung naga ulung, terlebih dahulu harus mengetahui Switzerland sebagai negara di Eropah tengah yang terkenal dengan keindahan gunung-ganang bersalji serta landskap muka bumi yang hijau. Kerana terlalu banyak menonton filem Barat dan Hindi yang memaparkan keindahan negara itu, Guru Akademik SMK Kangkar Pulai, Johor Bahru, Rozekruzaini (Rozek) Ahmad Tajuddin () memasang angan-angan untuk menjelajah destinasi itu. Ikutilah catatan perjalanan Rozek dari tanah air merentas beberapa negara Eropah sebelum ke Switzerland sekadar mahu melihat keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan.

Sebelum tiba di Switzerland, bersama sahabat kembara, Noor Fauzuliana (Nana) kami singgah di kota London, Scotland, Sepanyol dan Perancis dua minggu untuk tiba di Zurich, kota terbesar di Switzerland dengan pesawat dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris.

Kami tiba di Zurich sekitar jam 2.10 petang dan terus menuju ke terminal kereta api untuk ke Lucerne. Kami berehat sekejap di situ dan berkira-kira untuk mengeluarkan wang daripada mesin ATM. Seperti yang kami jangka, pasti ada masalah akan timbul.

Beberapa mesin ATM kami cuba tetapi wang tetap tidak dapat dikeluarkan. Kami kawal perasaan supaya tidak panik. Kami percaya pasti ada jalan penyelesaiannya, lalu penulis bertanya kepada Nana adakah dia mengaktifkan kad ATM miliknya untuk pengeluaran wang di negara asing?

Katanya, sudah aktifkan tetapi mengapa masih gagal? Penulis buat keputusan untuk menelefon bank di Malaysia. Setelah bercakap dengan pegawai bank terbabit, rupanya, kali pertama Nana menelefon bank itu, pegawai yang bertugas ketika itu tidak mengaktifkan kad Nana.

Jadi, sekarang mereka sudah mengaktifkan dan kad boleh digunakan. Selepas selesai mengeluarkan wang, kami menuju ke kaunter membeli tiket kereta api untuk ke Lucerne. Sepanjang pembacaan, saya hanya tahu ada Swiss Pass tetapi selepas bercakap dengan pegawai di kaunter itu, dia sarankan kami mengambil Tell Pass.

Kami memberitahu pegawai ituyang kami ingin ke Mount Titlis dan Mount Pilatus dalam masa tiga hari di sini, dan kami hanya akan berada di Lucerne dalam tempoh itu.

Tell Pass adalah tiket kereta api yang membolehkan kita menggunakan perkhidmatan kereta api dan feri tanpa had serta kereta kabel di Mount Titlis dan Mount Pilatus pada harga 170 franc Switzerland (RM695) seorang.

Tiket itu sah digunakan untuk tempoh tiga hari dari tarikh pembelian. Untuk ke Lucerne pada hari ini, kami perlu membeli tiket kereta api Zurich-Lucerne pada harga 29 franc sehala.

Selesai membeli tiket, kami pergi ke terminal bawah tanah untuk ke Lucerne. Terasa amat kagum dengan kecekapan sistem pengangkutan di sini. Kereta api tiba tepat pada masanya dan lebih mengujakan, ini kali pertama melihat kereta api laju dua tingkat yang ada di sini.

Segalanya kelihatan cekap dan bersistem. Kami menunggu sekitar 22 minit lagi untuk kereta api kami tiba ke Lucerne. Penulis sangat-sangat teruja. Sekitar 3.40 petang, kereta api kami tiba. Tidak sabar untuk naik ke tingkat atas kereta api itu dan ingin menikmati keselesaan gerabaknya. Ya, benar seperti yang dijangka, kereta api ini sangat selesa dan senyap.

Penulis amat kagum dan sering bercakap dalam hati, alangkah hebat jika kereta api ini ada di Malaysia satu hari nanti. Perjalananan ke Lucerne sekitar 40 kilometer menyusuri pinggir bandar dan pemandangan indah Switzerland.

Setiba kami di Stesen Keretapi Lucerne, kami lihat ia sibuk dengan orang ramai dan kereta api yang tiba serta gerabak yang menunggu masa untuk bertolak ke destinasi masing-masing. Kami tiba di situ dan tercari-cari papan tanda untuk keluar terminal ketibaan.

Untuk menaiki bas bandar, terminalnya terletak di tingkat atas. Kami sudah letih dan hanya terbayangkan katil dan tilam empuk untuk merebahkan badan. Penginapan kami sekitar Bellpark. Penulis sudahpun meminta arahan perjalanan daripada penyelenggara hostel itu sebelum tiba di Lucerne untuk memudahkan perjalanan di dalam bandar nanti.

Suasana semakin gelap dan menjadi sibuk dengan pelancong dan penduduk tempatan yang pulang dari kerja. Kami menemui hentian bas untuk ke Bellpark. Perkhidmatan bas di sini semuanya bersifat elektronik.

Sistem kad diguna oleh penduduk Lucerne untuk menaiki bas bandar yang lebih menjimatkan. Penulis tiba di hentian bas dan tercangak-bangak bagaimana ingin menggunakan mesin tiket yang bersifat layan diri. Penulis tiada duit syiling untuk membeli tikat bas, begitu juga Nana yang tiada duit syiling.

Mujur ada seorang penduduk tempatan yang melihat kami dalam masalah duit syiling dan menghulurkan syiling 4 franc Switzerland seorang, jadi dua orang sudah 8 franc Switzerland. Penulis menghulurkan wang kertas 10 franc Switzerland sebagai ganti. Beliau menolak wang penulis dan berkata, beliau gembira pelancong datang ke negaranya.

Selang dua minit, bas pun tiba dan mujur penulis sempat mengucapkan terima kasih tak terhingga kepadanya. Bas bandar yang kami naiki adalah bas nombor satu menuju Kriens. Ia bukanlah bas yang menggunakan diesel seperti di Malaysia sebaliknya menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Bas ini sangat senyap dan tidak membebaskan asap yang mencemarkan alam.

Penduduk Lucerne yang menggunakan khidmat bas ini kelihatan tertib dan ramai yang membaca buku. Penulis pun terlintas, patutlah mereka boleh menjadi negara maju kerana budaya membaca ada di mana-mana tidak kira masa. Pasti banyak pengetahuan yang mereka ada.

Hentian ke-10, Bellpark-Hoffmatt. Itulah hentian kami menuju ke hostel. Hari beransur gelap dan kami tidak nampak di mana hostel yang patut kami tuju. Ada seorang penduduk tempatan yang berada di situ, dan penulis mengambil peluang itu untuk bertanya lokasi hostel.

Sebenarnya hostel tu letaknya cuma 10 meter dari tempat kami turun tadi. Selepas mengucapkan terima kasih kepada lelaki tadi, kami cepat-cepat masuk ke dalam hostel dan daftar masuk bilik.

Hari sudah semakin gelap dan sejuk. Badan sudah tidak sabar untuk berehat dan melelapkan mata. Esok kami akan meneruskan perjalanan lagi ke Mount Titlis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:04 AM