AWAL dan Scha tak jangka dipilih untuk menghadiri acara gilang-gemilang di Switzerland itu.
AWAL dan Scha tak jangka dipilih untuk menghadiri acara gilang-gemilang di Switzerland itu.
Najiy Jefri

SERING menjadi pilihan jenama antarabangsa bagi menghadiri acara hiburan di luar negara, pasangan romantis Awal Ashaari dan Scha Al Yahya menganggap setiap tawaran yang diterima sebagai peluang berharga bergelar selebriti.

Terbaharu, Awal dan Scha satu-satunya selebriti yang mewakili Asia Tenggara untuk menghadiri pelancaran jam tangan berjenama IWC Schaffhausen di Salon International de la Haute Horlogerie (SIHH), Geneva, Switzerland.

Diterbangkan secara eksklusif pada 13 Januari lalu, Awal dan Scha mengakui teruja apabila nama mereka dipilih untuk menghadiri acara gilang-gemilang yang turut dihadiri duta antarabangsa jenama itu Bradley Cooper, Rosamund Pike, Dev Patel, Adriana Lima, James Marsden, Karolina Kurkova dan Sonam Kapoor.

“Kami mewakili Malaysia dan seluruh rantau Asia Tenggara untuk menghadiri acara itu. Kami difahamkan pemilihan setiap selebriti untuk dibawa ke acara berkenaan bukan mudah.

“Banyak prosedur dan syarat yang mereka lihat sebelum membenarkan duta dari Asia Tenggara dibawa ke acara itu.

“Ini kerana jam tangan terbabit adalah jenama mewah yang sangat eksklusif dan pihak mereka menilai latar belakang setiap selebriti yang ingin dibawa.

“Saya teruja apabila dimaklumkan kami antara selebriti yang sesuai dan menepati setiap kriteria mereka. Selain itu, kami juga pengguna jam tangan berkenaan,” kata Awal.

Tambah Awal, antara momen berharga yang tidak mungkin dilupakan adalah berpeluang melihat dan memegang seutas jam tangan Jaeger LeCoultre bernilai RM5 juta.

TERUJA dapat melihat dan memegang jam tangan berharga RM5 juta.
TERUJA dapat melihat dan memegang jam tangan berharga RM5 juta.

“Pada majlis itu kami dibawa secara eksklusif untuk merasai pengalaman melihat beberapa jam tangan mewah IWC Schaffhausen. Tidak semua duta diberi peluang itu.

“Kami juga diberi peluang melihat dan memegang jam tangan Jaeger LeCoultre terbaharu yang bernilai lebih RM5 juta,” katanya.

Menurut Awal, Scha tidak dapat mengikuti rombongan itu sepenuhnya kerana terikat dengan final Maharaja Lawak Mega 2018.

“Saya hanya sempat bersama Scha selama empat hari di Switzerland. Kemudian saya teruskan aktiviti yang mereka sediakan iaitu melawat kilang pembuatan jam berkenaan.

“Ia pengalaman baharu apabila dapat lihat sendiri cara jam dihasilkan. Tidak semua duta diberi peluang sedemikian.

“Terlintas juga di hati, mengapa jam dijual dengan harga sangat tinggi? Namun, selepas melihat sendiri cara pembuatannya, barulah saya faham ia bukan kerja mudah.

“Setiap satu jam dibuat dan disusun dengan penuh teliti hingga mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. Di kilang itu saya mengambil masa hampir lapan jam untuk lihat proses kerja penghasilan jam,” katanya.

Jatuh cinta pada ketenangan Switzerland

Meskipun meredah cuaca yang sangat sejuk, Awal memanfaatkan peluang yang diberi apatah lagi itu pengalaman pertamanya menjejakkan kaki di Switzerland.

“Sudah lama saya teringin nak ke Switzerland. Saya anggap pelawaan daripada IWC Schaffhausen ini sebagai rezeki terpijak.

“Saya sempat meluangkan waktu untuk ke ibu negara Switzerland, Bern dan melawat beberapa tempat di Zurich.

“Sepanjang lapan hari berada di sana, Switzerland antara negara Eropah yang saya rasa sangat tenang dan sunyi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Awal berkata, dia dan Scha juga dijemput menghadiri pertunjukan fesyen jenama antarabangsa Bvlgari pada 18 Februari ini di Rome serta Milan Fashion Week.

AWAL bergambar dengan perkakasan pembuatan jam.
AWAL bergambar dengan perkakasan pembuatan jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 5:30 AM