Lizam Ridzuan

Pameran Motor Antarabangsa Bangkok 2023 (BIMS 2023) yang dianjurkan daripada 22 Mac sehingga 2 April ini cukup unik kerana ia menghimpunkan pengeluar kereta, motosikal dan kenderaan komersial.

Selain sebagai negara yang menyediakan kilang pemasangan kenderaan pelbagai jenama antarabangsa, model yang dipamerkan juga kebanyakannya bakal memasuki pasaran Asean selain untuk pasaran domestik Thailand.

SUASANA di BIMS 2023.
SUASANA di BIMS 2023.

Penulis berpeluang kali pertama ke acara anjuran kali ke-44 itu, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Impact di Muang Thong Thani.

Lebih 40 jenama permotoran antarabangsa memenuhi dewan pameran seluas 170,960 kaki persegi itu yang bertemakan konsep 'Colourful Exprience'.

Antara yang eksklusif untuk acara BIMS 2023 ini ialah penampilan sulung Mitsubishi XRT Concept.

 XRT konsep untuk Triton
XRT konsep untuk Triton

Model ini juga adalah bayangan awal model trak pikap Triton Serba Baharu yang bakal dilancarkan Julai ini.

Honda juga mempamerkan Honda CR-V Serba Baharu dengan pilihan enjin 2.0 liter e:HEV Hibrid dan Turbo selain model seperti WR-V dan BR-V 2023 serta model prestasi, Civic Type-R.

HONDA CR-V Serba Baharu.
HONDA CR-V Serba Baharu.

Toyota juga, selain model terkini seperti Vios dan Yaris baharu memperlihatkan model konsep trak pikap kenderaan elektrik (EV) Hilux Revo BEV yang menggunakan sepenuhnya kuasa elektrik.

Model ini tampil dengan ciri 'single kabin' serta rekaan gril hadapan baharu.

TRAK pikap EV oleh Toyota.
TRAK pikap EV oleh Toyota.

Selain kuasa elektrik, turut diperkenalkan model konsep Corolla Cross H2 Hidrogen sebagai tenaga alternatif dengan enjin 1.6 liter yang menjana 300 kuasa kuda serta isian hanya mengambil masa seminit setengah berbanding model Mirai, selama lima minit.

Model lain seperti Prius PHEV juga dipamerkan.

Peugeot juga tidak ketinggalan dalam 'perlumbaan' penawaran kenderaan tenaga baharu dengan melancarkan model EV Peugeot e-2008 dengan kapasiti bateri 50kWh yang menjana kuasa kuda 136 dan tork 260Nm.

Model ini juga mampu bergerak sejauh 340km (WLTP).

Juga diperkenalkan model Peugeot 408 Plug-In Hibrid menerusi reka bentuk radikal gaya fastback. Ia mengekalkan ciri signatur seperti gril hadapan dan 'taring' singa pada lampu nyalaan siang (DRL).

Ia menawarkan gaya seakan-akan hatchback, namun selesa seperti SUV dengan 225 kuasa kuda dan tork 360Nm.

PEUGEOT 408 PHEV.
PEUGEOT 408 PHEV.

Ia dilengkapi motor elektrik 12.4KWh serta dengan pengecasan penuh bateri, model ini mampu bergerak sejauh 63km (WLTP). Kelajuan maksimumnya mampu mencecah 233km/j.

Antara jenama lain yang terbabit dalam pameran kali ini ialah Nissan, Ford, BMW, MINI, Mercedes-Benz, Great Wall Motors, Rolls-Royce, Aston Martin, Maserati, Jeep, Lexus, Ducati dan Triumph.

Untuk motosikal, banyak pengenalan model terbaharu seperti Honda yang melancarkan motosikal Pengembaraan XL 750 Transalp dengan enjin 750cc dua silinder selari, dengan lima mod tunggangan serta meter TFT 5 inci.

HONDA Transalp 750.
HONDA Transalp 750.

Selain itu, Kawasaki Thailand juga melancarkan model Ninja ZX-4R yang menjana 45 kuasa kuda dan tork 38Nm serta model cruiser Eliminator 400 dengan enjin dua silinder sejukan-cecair DOHC.

Eliminator 400 ini berkongsi enjin dengan model Ninja dan Z400.

Yamaha pula memfokus kepada motosikal tenaga Neutral Karbon. Ia menyasarkan sifar emisi menjelang 2050 dengan pengenalan model E01 dan Neo selain ROV sebagai model prototaip yang bakal dijana kuasa hidrogen.

YAMAHA ke arah motosikal emisi sifar.
YAMAHA ke arah motosikal emisi sifar.

Suzuki memperkenalkan Suzuki V-Strom SX 250 dengan enjin silinder tunggal. Ia mampu menjana 26.5hp dan tork 22.2NM.

Ia bercirikan motosikal pengembaraan sport tourer ringan.

Pada pandangan penulis, BIMS menarik untuk dikunjungi kerana model yang dipamerkan 'rapat' dengan pasaran Malaysia.

Model EV juga mula mendapat perhatian. Ia membabitkan pengeluar seperti Neta dan Great Wall Motor (GWM) dengan model seperti Ora Good Cat serta Tank 500 Hybrid.

Acara yang berlangsung selama 12 hari itu juga mempamerkan produk prestasi, kemasan dan aksesori kenderaan selain jualan kenderaan terpakai dalam dewan yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:12 AM