SUV kompak rekaan menarik.
SUV kompak rekaan menarik.
Lizam Ridzuan


MODEL Peugeot 2008 Baharu 2022 dengan rekaan yang memenangi anugerah Red Dot sudah berada dalam pasaran tempatan hujung Januari lalu.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak ini cukup menyerlah dengan sentuhan kemasan gaya Eropah.

Ia diedar syarikat pengedar tunggalnya di Malaysia iaitu Bermaz Auto Alliance.

Sebelum pelancaran, ia turut diuji lebih 200,000 kilometer (km) di negara ini meliputi pelbagai keadaan jalan raya dan cuaca bagi membuktikan SUV ini sesuai dengan suasana iklim di Malaysia.

Antara yang menjadikan SUV ini tampil berbeza ialah rekaan gril hadapannya yang seakan-akan bersepadu dengan lampu utama LED.

Lampu belakang gaya signatur 'cakaran singa' turut menjadikan SUV ini lebih menarik.

Ia dipadankan dengan rim aloi 17 inci 'Hitam Onyx' corak potongan berlian menjadikan ia tampil sporty.

Pada bahagian kabin, ia berciri ergonomik berasaskan 'Peugeot i-Cockpit'.

Ia merangkumi roda stereng kompak untuk pengendalian lebih baik, skrin 7 inci definisi tinggi (HD) dan kluster meter bersaiz 10 inci dengan 'heads up' ciri tiga dimensi (3D).

KABIN dengan ciri Peugeot i-Cockpit.
KABIN dengan ciri Peugeot i-Cockpit.

Ciri lain, ia datang dengan penyaman udara, kerusi kulit, butang fungsi gaya piano, brek parkir elektrik, mod pencahayaan kabin selain ruang kargo yang bersesuaian dengan saiznya.

Model ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan 'Visiopark 1' dengan kamera 180 darjah, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Perhatian Pemandu, Paparan Titik Buta, dan Brek Keselamatan Aktif.

Ia juga dilengkapi enam beg keselamatan SRS serta Program Kestabilan Elektronik dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

SUV ini dijana enjin 1.2 liter 'PureTech' pengecas turbo petrol yang mampu menghamburkan 130 kuasa kuda (hp) dan tork 230Nm serta enam kelajuan automatik.

Bagi pemanduan, ia dilengkapi tiga mod iaitu normal, eco dan sport.

GAYA butang piano.
GAYA butang piano.

Hanya satu varian ditawarkan iaitu Peugeot 2008 1.2L Allure yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Stellantis di Gurun, Kedah.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Oren Fusion, Putih Pearl, Hitam Nera dan Kelabu Amazonite.

Ia dijual pada harga RM126,753 (atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian SST) dengan jaminan lima tahun atau 100,000km yang mana lebih dahulu.

Model ini juga didatangkan dengan tiga tahun servis percuma atau 60,000km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 7:00 AM