Peugeot Landtrek serlah sisi lasak gaya hidup
Peugeot Landtrek serlah sisi lasak gaya hidup
Lizam Ridzuan


Barisan penawaran trak pikap di negara ini tambah meriah dengan pengenalan Peugeot Landtrek yang bakal menjengah ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Model pertama yang juga untuk Asia Pasifik ini diedar di pasaran tempatan oleh Bermaz Auto Alliance (BAASB).

Walaupun diasaskan daripada model Kaicene F70 yang dibangunkan oleh pengeluar automotif China, Changan Automobile, sentuhan elegan Peugeot dapat dilihat melalui rekaan gril hadapannya.

Ia juga dilengkapi lampu hadapan dan nyalaan siang (DRL) LED signaturnya.

Datang dengan rim aloi 18 inci, model ini turut dilengkapi palang sport, rel bumbung, bampar hadapan dengan skid plate, pemijak sisi dan kemasan krom pada pembuka pintu dan cermin sisi.

Ia berkepanjangan 5,330 milimeter (mm), lebar 1,920mm, tinggi 1,819mm selain jarak antara rodanya ialah 3,180mm.

RUANG kabin elemen SUV.
RUANG kabin elemen SUV.

Peugeot Landtrek dengan transmisi automatik enam kelajuan ini dikuasakan enjin 1.9 liter empat silinder turbodiesel.

Enjin ini mampu menjana 150 kuasa kuda pada 4,000 rpm dan tork 350Nm pada 1,800 hingga 2,800 rpm.

Ia juga didatangkan dengan sistem pacuan empat roda berserta 'differential' gandar belakang dan mod pemanduan Eco serta Sport.

Selain itu, ruang kabinnya bergaya dengan elemen seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditampilkan menerusi kluster meter dan sistem infotainmen bersaiz 10 inci.

Ia boleh disambungkan kepada Android Auto dan Apple CarPlay.

Ciri lain ialah kamera 360 darjah, kerusi hadapan larasan elektrik, penyaman udara dwi zon, enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), bantuan brek dan kawalan cengkaman.

Peugeot Landtrek yang juga import sepenuhnya (CBU) dari China dijual pada anggaran harga RM123,000.

SESUAI untuk aktiviti aktif.
SESUAI untuk aktiviti aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 7:00 AM