PELANA tunggal tulen.
PELANA tunggal tulen.
HONDA C70 Angin Malam.
HONDA C70 Angin Malam.
Lizam Ridzuan


TAHAN lasak, harga berpatutan dan boleh disesuaikan dengan keperluan gaya hidup antara sebab model cub Honda C70 sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia.

Sejak diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 1970, ia terus popular menjadi pilihan pembeli untuk kemudahan dan keperluan mobiliti seisi keluarga.

Vroom berpeluang melihat dengan lebih dekat sebuah Honda C70 keluaran 1979 yang melalui proses restorasi malah berpeluang menunggang ujinya.

Model dengan tema Angin Malam ini adalah projek 'Restomod' yang dibangunkan oleh individu di sebalik tabir acara permotoran dan binaan khas, Art Of Speed Malaysia terdiri daripada Khairul Akmal Zulkifliy sebagai ketua projek, Asep Ahmad Iskandar Sastrawidjaja, Ahmad Munir Kamaluddin dan Muhammad Farid Nawi.

Khairul atau dikenali sebagai Black berkata, motosikal ini disediakan untuk acara Kuala Lumpur Bike Week 2019 (KLBW19) lalu dan mereka bersetuju mengekalkan ciri-ciri asal termasuk pada lampu, meter, cermin sisi dan ekzos bagi menampilkan ciri standard yang terdapat padanya.

RAK papan selaju tambah keunikan.
RAK papan selaju tambah keunikan.

"Cuma pada bahagian cat, kami ingin serlahkan dengan warna binaan khas iaitu hitam dengan corak. Tulisan Angin Malam pula kami tulis sendiri.

"Kami juga gunakan teknik khas dalam menghasilkan corak daripada daun sebenar yang disepadukan dengan warna emas, ia memang tampil unik dan berbeza," katanya.

Selain itu, terdapat sedikit perubahan dilakukan iaitu pada rim belakang apabila ia dipasang dengan rim bersaiz 18 inci, rim hadapan kekal pada saiz 17 inci.

Kedua-dua rim ini daripada jenama 'Excel Takasago' yang dipadankan dengan tayar FKR untuk memberi gaya 'Hotrod'.

TUNGGANGAN santai gaya retro.
TUNGGANGAN santai gaya retro.

Pada bahagian hadapan 'fairing' yang ditebuk bulat untuk eleman gaya 'street', ia dihias dengan pelekat edisi terhad 'Honda Britain Racing Team' untuk perlumbaan 'Isle Of Man 1982'.

Bagi memberi kelainan, pada bahagian sisi kiri, dipasang rak papan selaju direka oleh syarikat 'Abah & Sons' yang dimiliki oleh legenda papan selaju negara, Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali sebagai Pa'din Musa.

Pelana tunggal pada motosikal ini adalah tulen, ia daripada model asal yang ditambah untuk pembonceng.

Lampu membelok dengan elemen 'hitam asap' menyerlahkan keseluruhan konsep.

KEMASAN lukisan tangan.
KEMASAN lukisan tangan.

Namun pada bahagian enjin, ia digantikan dengan nadi baharu daripada model Honda EX-5 berkuasa 100cc empat lejang dengan empat kelajuan berbanding 71.8cc sebelum ini dengan tiga kelajuan.

Khairul berkata, kos keseluruhan bagi menyiapkan model ini sekitar RM6,000, termasuk Honda C70 ini yang dibeli pada harga RM1,200.

Model ini juga lengkap daripada segi dokumentasi termasuk geran dan cukai jalan yang sah.

Angin Malam mengambil masa enam minggu untuk disiapkan.

ENJIN 100 cc.
ENJIN 100 cc.

Penulis dapati, model ini ternyata memiliki keunikan tersendiri dengan bentuk lama dihias gaya ciri baharu.

Ia juga satu idea untuk restorasi yang menarik kerana kos yang tidak terlalu membebankan malah masih mudah mendapatkan aksesori dan alat ganti.

Selain boleh bermain dengan idea dan kreativiti, ia juga sesuai bagi tunggangan harian malah buat kaki papan selaju, pasti lebih bergaya dengan rak unik yang dipasang.

Namun paling utama ialah, ia perlu direka dengan ciri keselamatan serta harus disesuaikan dengan saiz motosikal ini.

PADANAN warna hitam khas.
PADANAN warna hitam khas.

Ciri-ciri lain dengan penghidup tendang dan kunci masih kekal di bahagian tepi motosikal, ia cukup mengimbau kenangan terutama buat mereka yang belajar menunggang menggunakan motosikal ini pada zaman remaja.

Enjin 100cc lebih lancar dengan kotar gear empat kelajuan pula mampu mencapai kelajuan 100 kilomter/sejam (km/j) berbanding enjin asalnya pada sekitar 50 ke 60 km/j saja.

Secara keseluruhannya, jika anda sukakan motosikal gaya retro dan pada harga baik pulih 'mesra dompet', Honda C70 antara yang sesuai untuk dimiliki.

CORAK dihasilkan secara manual.
CORAK dihasilkan secara manual.

HONDA C70 ANGIN MALAM

- Cat Khas oleh Dhwan Design

- Enjin 100 cc empat lejang transmisi 4 kelajuan oleh Mat Motor Performance

- Pemasangan oleh Beautiful Machine

- Rim Excel Takasago

- Pelana tunggal tulen Honda

- Rak papan selaju Abah & Sons.

- Kos keseluruhan RM6,000.

MODEL C70 versi asal.
MODEL C70 versi asal.

HONDA CUB C70

-Model asal Honda Cub F adalah enjin yang dipasang pada basikal.

- Model Honda Cub pertama kali dilancarkan pada 1958 di Jepun dengan model Super Cub.

- Ia dibawa masuk ke Malaysia oleh usahawan Tan Sri Datuk Loh Boon Siew pada 1958 dengan model Honda C100 Dream and Honda Bealy.

- Honda C50 antara yang mula ditawarkan pada harga di bawah RM500 ketika itu.

-Pada 1969, kilang pemasangan motosikal Honda dibina di Butterworth, Pulau Pinang.

- Honda C70 dibangunkan dan diperkenalkan pada 1970 yang menjadi peralihan industri motosikal di negara ini

- Ia dilengkapi enjin 72cc, empat lejang OHC dengan kuasa 6.2PS pada 9,000rpm dan tork 5.2Nm pada 7,000rpm.

- C70 popular kerana enjin empat lejang lebih senyap, jimat dan tahan lasak berbanding pesaing mereka dengan enjin dua lejang

- Pada 1986 sebanyak 1 juta unit C70 dihasilkan di Malaysia.

- Melalui carian di laman jual beli mudah.my Honda C70 dijual pada harga bermula RM1,200 sehingga mencecah RM12,000 bergantung kepada keadaan motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 6:30 AM