SUV prestasi Audi.
SUV prestasi Audi.
Lizam Ridzuan


Selepas beberapa ketika 'sunyi' daripada pasaran, Audi kini kembali dan antara model terbaharu yang ditawarkan ialah Audi RS Q8.

Model ini diedar pengedar rasminya, PHS Automotive Malaysia (PHSAM).

Audi RS Q8 adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz penuh sentuhan berprestasi dan yang pertama menggunakan lencana RS.

Model ini dilengkapi enjin 4.0 liter biturbo V8 TFSI, ia menjana kuasa 600PS dan tork 800Nm serta mampu mencapai kelajuan daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 3.8 saat.

Pernah menjadi SUV terpantas di litar Nurburgring, Jerman dua tahun berturut-turut, ia juga mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 305km/j.

Enjin V8 TFSI dengan pacuan semua roda sepenuh masa quattro menerusi kotak gear lapan kelajuan serta kawalan tork roda terpilih.

Ia menjadikan kelincahan dan keselamatan lebih baik termasuk ketika melewati selekoh.

Audi RS Q8 juga datang dengan rekaan luaran yang sporty.

RUANG kabin ciri teknologi.
RUANG kabin ciri teknologi.

Cirinya pula berkonsepkan oktagon dengan gril corak sarang lebah kemasan hitam berkilat.

Ia juga dilengkapi radiator karbon RS, corong kemasukan udara sisi dan bilah karbon seterusnya menyerlahkan karakter atletiknya.

Spoiler bumbung RS bukan sekadar gaya malah berfungsi sebagai 'downforce' kepada gandar belakang untuk lebih stabil pada kelajuan tinggi.

Ruang kabin juga tampil luas dan sporty dengan kokpit maya Audi dan paparan MMI seperti tekanan tayar, tork, kuasa, suhu, catatan masa dan 'g-force' serta paparan 'head-up' ciri grafik khas RS.

RUANG penumpang selesa.
RUANG penumpang selesa.

Ia dilengkapi tempat duduk sport RS dibaluti kulit Valcona dengan jahitan corak sarang lebah.

Kemasan kulit nappa juga membalut tuil gear, perehat tangan dan pintu.

Model ini juga dilengkapi sistem komprehensif termasuk bantuan jelajah adaptif, bantuan kecekapan, bantuan di simpang, amaran penukaran lorong dan kamera 360 darjah.

Sembilan pilihan warna ditawarkan terdiri daripada satu kemasan cat solid dan lapan warna metalik atau mutiara, bersama perumah cermin sisi karbon dan 11 warna Audi Exclusive.

Untuk pasaran Malaysia, Audi RS Q8 dijual pada harga RM1,699,990.

RUANG kargo sesuai untuk perjalanan jauh.
RUANG kargo sesuai untuk perjalanan jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 6:44 AM