ES 250 kini dengan varian F Sport.
ES 250 kini dengan varian F Sport.
Lizam Ridzuan


SEBAGAI sedan eksekutif, Lexus ES 250 tampil dengan rekaan gaya sedan premium yang kini diberi sentuhan peningkatan untuk model 2021.

Varian terbaharu F Sport yang datang dengan rekaan lebih segar dan sporty ini kini menyertai barisan sedia ada ES 250 Premium dan Luxury di negara ini.

Antara yang terkini pada model ini ialah rekaan 'gril spindle' sebagai ciri signatur dengan elemen yang diubah termasuk untuk F Sport dengan corak mesh dan elemen L bersilang metalik gelap.

Selain itu, untuk model premium, ia datang dengan lampu projektor bi-LED dengan perumah baharu.

Varian Luxury dan F Sport pula dilengkapi lampu LED tiga tahap ultra-kompak serta lampu nyalaan siang (DRL) baharu.

Selain mengekalkan gaya coupe pada rekaan, ia dipadankan dengan rim aloi 19 inci dengan warna Dark Premium Mettalic (F Sport).

Bagi model Premium dan Luxury, ia didatangkan dengan rim 18 inci.

Ruang dalamannya bertema warna baharu sama ada hitam elegan dengan Black Walnut atau Brown Walnut serta balutan kerusi Hazel.

Sistem multimedia skrin sesentuh warna penuh bersaiz 12.3 inci (8 inci untuk varian Premium) pula dialihkan kedudukannya 112 milimeter (mm) lebih dekat dengan penumpang dan dicondongkan lima darjah ke arah pemandu.

KEMASAN sporty dengan rim aloi 19 inci warna gelap.
KEMASAN sporty dengan rim aloi 19 inci warna gelap.

RUANG kabin F Sport.
RUANG kabin F Sport.

BAHAGIAN penumpang belakang selesa.
BAHAGIAN penumpang belakang selesa.

Ia juga dilengkapi fungsi navigasi. Kualiti udara ruang kabin pula lebih bersih dengan generator ion Nanoe-X sebagai ciri standard.

Tambahan kemasan kepada F Sport ialah jam analog dengan pencahayaan grafik bentuk L selain meter boleh alih dengan gaya 3D yang pertama kali digunakan untuk model model LFA.

Stereng tiga jejari, tombol gear balutan kulit, pedal sport dan perehat kaki aluminium antara ciri terbaru diketengahkan.

Ketiga-tiga varian Lexus ES 250 dibekalkan dengan enjin 2.5 liter DOHC A25A-FKS petrol VVT-iE empat silinder 16 injap yang mampu menjana 204 kuasa kuda (hp) dan tork 247Nm.

Ia didatangkan dengan transmisi automatik Direct-Shift 8-kelajuan pacuan roda hadapan dan Direct Connected Downshift.

Ia juga mampu mencapai kelajuan maksimum 210 kilometer/sejam (km/j) dan memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 9.1 saat.

ES 250 juga datang dengan mod pemanduan Economy atau Sport untuk penjimatan bahan api serta prestasi.

Sistem keselamatan Lexus (LSS+) turut melengkapi model ini sebagai ciri standard.

Lexus ES 2021 Baharu dijual pada harga RM295,663 (Premium), RM329,910 (Luxury) dan RM345,134 (F Sport) (harga atas jalan tanpa insurans).

Ia boleh didapati di enam cawangan rasmi Lexus Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 7:00 AM