Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Predator atau pemangsa pedofilia dikesan sanggup menunggu mangsanya yang berusia di bawah 13 tahun mencecah usia remaja sebelum mengumpannya untuk menjadi 'kekasih'.

Seorang pedofilia itu akan mengumpan dan 'membela' mangsa yang menjadi sasarannya dengan memujuk serta memberi hadiah untuk meyakinkan mangsanya.

Apabila mangsanya berjaya dijerat, pemangsa pefofilia ini akan mengambil kesempatan untuk berjumpa sebelum mengajaknya melakukan hubungan seks atau berkongsi gambar serta video lucah.

Modus operandi pemangsa pedofilia ini didedahkan pakar kriminologi, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dilakukan pihaknya bagi mengesan jenayah pedofilia di negara ini.

"Eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak oleh pedofilia ini bermula dengan aktiviti pengantunan seksual atau sexual grooming membabitkan ramai mangsa pada satu-satu masa.

"Melalui modus operandi yang digunakan, mereka akan berkenalan dengan mangsa yang proses itu ada mengambil masa singkat dan kadangkala turut mengambil masa panjang.

"Pengantunan di alam maya selalunya cenderung kepada kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah dan apabila meningkat usia remaja, pemangsa akan memujuk serta memberi hadiah hingga meyakinkan mangsa untuk jadi kekasih.

"Pemangsa kemudiannya akan mengambil kesempatan untuk berjumpa dan merakam perlakuan seks mereka, sama ada bagi tujuan sumber kewangan atau simpanan peribadi," katanya

Menurutnya, aplikasi sosial pada telefon pintar dan permainan dalam talian dikesan menjadi 'lubuk' baharu kepada golongan pedofilia untuk mencari mangsanya.

Katanya, terdapat lebih 100,000 bahan pornografi kanak-kanak termasuk video yang dikongsi di pelbagai platform media sosial dan aplikasi yang disyaki dimuat naik oleh pemangsa pedofilia itu.

"Pemangsa pedofilia akan mencari kanak-kanak untuk eksploitasi seks melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter atau aplikasi sembang seperti WhatsApp serta WeChat.

"Bahkan kini, lebih banyak aplikasi yang disalah guna pemangsa pedofilia untuk mendekati kanak-kanak antaranya Bigo, Snapchat, Lilmatch, Tinder, Telegram dan TikTok," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengurus Program Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur berkata, penggunaan aplikasi dan media sosial secara meluas tanpa kawalan memudahkan akses komunikasi berunsur lucah tanpa sentuhan fizikal berlaku.

Menurutnya, ia akhirnya menjerat mangsa untuk berkongsi gambar atau video mengaibkan diri sebelum boleh menjurus kepada jenayah seksual.

Katanya, berdasarkan kes dikendalikan pihaknya, mangsa jenayah seksual kanak-kanak membabitkan usia seawal 11 hingga 18 tahun.

"Ada kes yang dikendalikan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun berkenalan melalui WeChat sebelum berjumpa dan dirogol oleh tiga lelaki.

"Satu lagi kes membabitkan remaja perempuan berusia 16 tahun diminta merakam aksi lucah dan rakaman video itu dijadikan sumber kewangan oleh pemangsanya," katanya ketika ditemui.

Mengikut data kes rogol membabitkan mangsa di bawah umur daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 3,420 mangsa rogol direkodkan bagi tempoh 2021 hingga 2022.

Daripada jumlah itu, 13 kes rogol membabitkan kanak-kanak berusia bawah enam tahun, manakala enam hingga sembilan tahun (58 kes), 10 hingga 12 tahun (325), 13 hingga 15 tahun (1,788), 16 hingga 18 tahun (706) dan atas 18 tahun (530).

Saiful Hamiruzzaman berkata, cabaran menangani jenayah seksual dalam talian ketika ini lebih besar dengan adanya pelbagai aplikasi sosial termasuk kononnya mesra Muslim disalah guna pihak tertentu.

Justeru, beliau berkata, kerajaan menerusi agensi berkaitan perlu lebih agresif memantau dan menyekat aktiviti tidak bermoral atas talian, selain mengadakan program advokasi bagi memberi kesedaran dan membanteras jenayah seksual.


Tiga kanak-kanak, remaja jadi mangsa dalam sehari

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak secara dalam talian termasuk berkongsi kandungan pornografi di negara ini semakin membimbangkan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kes itu menunjukkan peningkatan bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, sebanyak 5,727 kes direkodkan sejak 2018 hingga 2022 iaitu secara purata dianggarkan tiga kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa dalam sehari.

Daripada jumlah itu, katanya, terdapat sebanyak 67 kes bagi kesalahan mengakses pornografi kanak-kanak.

"Berdasarkan maklumat diterima, memang banyak bahan lucah kanak-kanak di Internet, tetapi kebanyakannya adalah bahan dari luar negara.

"Mereka yang membuat capaian kepada bahan pornografi kanak-kanak ini dipercayai pedofilia kerana ketaksuban mereka terhadap kanak-kanak.

"Kebanyakan kes jenayah seksual kanak-kanak dalam talian membabitkan pelaku dengan mangsa bukan dikenali.

"Pelaku menggunakan pelbagai platform media sosial dan aplikasi sosial pada telefon pintar sebagai medium perkenalan dengan kanak-kanak serta remaja sebelum melakukan kesalahan seksual," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cara hidup kanak-kanak dan remaja pada masa kini yang menjadikan media sosial serta aplikasi sosial sebagai medium komunikasi sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada pedofilia.

Katanya, golongan terbabit akan mencari peluang untuk mendekati mangsa, berkenalan dan melakukan pengantunan seksual (sexual grooming).

"Pemangsa akan melakukan komunikasi secara seksual yang berterusan menyebabkan kanak-kanak tertarik, terpengaruh dan percaya kepada suspek sehingga sanggup berkongsi gambar bogel dan merakam aksi lucah," katanya.

Siti Kamsiah berkata, PDRM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi luar negara bagi mendapatkan maklumat mengenai aktiviti pedofilia.

Berita berkaitan

KPWKM sentiasa pantau kegiatan salah laku terhadap kanak-kanak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 12:01 PM