PELANCARAN Love Myself Campaign
PELANCARAN Love Myself Campaign
BAHAN pornografi boleh sampai kepada anak anda menerusi penggunaan internet tanpa kawalan.
BAHAN pornografi boleh sampai kepada anak anda menerusi penggunaan internet tanpa kawalan.
AJAR anak jauhi bahan pornografi.
AJAR anak jauhi bahan pornografi.
KANAK-kanak terdedah kepada bahan pornografi jika tidak dikawal.
KANAK-kanak terdedah kepada bahan pornografi jika tidak dikawal.
Intan Mas Ayu Shahimi


Pedofilia dan pornografi kanak-kanak bukan isu enteng sebaliknya memerlukan perhatian kritikal. Dalam dunia serba moden ini, teknologi Internet dan gajet pintar menjadikan manusia semakin tenggelam dalam arus maklumat tanpa sempadan. Ledakan ini secara sedar memberi ruang cukup luas kepada industri pornografi untuk berkembang pesat.

Realitinya, tidak kira di mana anak muda kita berada ketika ini, akses pornografi melalui Internet dan telefon pintar menjadi sumber yang teramat sukar dikawal. Membandingkan pulangan industri ini dengan syarikat terkemuka dunia tiga tahun lalu, pornografi dilaporkan membawa keuntungan lebih besar daripada Google, Microsoft, Apple mahupun Amazon.

Tidak hairan jika dikhabarkan 12 peratus daripada seluruh laman web di dunia ini menjadi jaringan pornografi. Namun yang lebih menakutkan apabila statistik Google Trends melaporkan Malaysia menduduki tangga kelapan sebagai negara paling banyak pencari maklumat berkaitan pornografi!

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, pedofilia dan pornografi kanak-kanak adalah bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang serius. Kelompok ini sepatutnya disayangi dan dilindungi, bukan didera atau dieksploitasi secara fizikal, mental mahupun seksual.

“Kita pernah dikejutkan dengan berita mengenai Nur Fitri Azmeer Nordin, seorang penuntut jurusan Matematik di Imperial College yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah di London selepas didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah kanak-kanak, termasuk 601 imej ‘kategori A’ yang menggambarkan hubungan seks dengan kelompok bawah umur.

“Kita juga pernah berdepan kes pedofilia membabitkan warga Britain, Richard Huckle yang didakwa melakukan jenayah seksual terhadap 23 kanak-kanak dan bayi Malaysia serta Kemboja berusia enam bulan hingga 12 tahun. Dia juga didakwa mencabul sehingga 200 kanak-kanak, kebanyakannya daripada masyarakat miskin di Kuala Lumpur dari 2006 hingga 2014.

“Kes sebeginilah yang menimbulkan kerisauan, sekali gus menggesa IKRAM untuk mengambil tindakan dengan cepat dan tepat. Ini perlu ditangani berikutan ancaman yang semakin menular, merentasi sempadan dunia melalui kemudahan Internet dan pelbagai bentuk teknologi maklumat kini. Apa yang kita paling risau adalah kesan pornografi itu sendiri kepada keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita.

“Mereka ini anugerah Allah SWT untuk dijaga, dibelai, dilindungi dan dididik dengan sebaiknya. Merekalah aset bernilai buat agama dan negara. Generasi baru ini berhak untuk mendapatkan kehidupan yang selamat dan sejahtera,” katanya.

Pedofilia

Menurut Che Asmah, pedofilia merujuk kepada mereka yang mempunyai kecenderungan seksual kepada kanak-kanak. Ia adalah penyakit psikologi dan boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. Bagaimanapun, mereka ini sukar dikesan kerana kelihatan normal dan sangat mesra dengan kanak-kanak.

“Dunia tanpa sempadan hari ini membuka ruang besar untuk kanak-kanak menggali maklumat. Tanpa kawalan ibu bapa, kelebihan ini sebenarnya boleh membawa risiko besar yang mungkin menjejaskan kesejahteraan dan kebajikan anak pada masa akan datang.

“Ini kerana kes pedofilia sangat berkait rapat dengan penyalahgunaan Internet. Mereka mengeksploitasi kanak-kanak yang belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi. Sebab itulah bimbingan dan pengawasan ibu bapa, penjaga dan guru sangat penting. Setiap pihak perlu merancang strategi efektif untuk menyelesaikan isu ini.

“Ibu bapa dan guru umpamanya, mereka perlu mempunyai kesedaran dan ilmu jelas mengenai pedofilia. Mereka harus tahu risiko serta ancamannya kepada kanak-kanak. Pengetahuan yang baik mengenai isu ini akan memberi lebih kefahaman kepada kita mengenai punca berlakunya pedofilia, kaedah penyelesaian, kesan gangguan seksual serta cara efektif untuk mengawal serta mencegah masalah ini.

“Paling penting, sebagai ibu bapa, kita harus komited untuk mengambil tahu dan mendalami isu ini kerana setiap anak-anak kita terdedah kepada ancaman pedofilia ini, tidak kira sebagai mangsa atau pemangsa,” katanya.

Memetik satu kajian di Amerika Syarikat, Che Asmah berkata, kira-kira tiga peratus daripada rakyat negara itu dijangka mempunyai masalah berkaitan pedofilia dan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Pengamal pedofilia ini dikenalpasti pakar psikiatri sebagai kelompok yang mengalami gangguan seksual dalam kehidupannya. Mereka tertarik melihat kanak-kanak sebagai objek seksual disebabkan pelbagai faktor, antaranya, naluri seks kepada kanak-kanak yang mudah dimanipulasi, tidak yakin untuk bersama wanita dewasa dan masalah hubungan yang terbantut.

“Kebanyakan pedofilia akan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian ibu bapa dan mudah percaya kepada orang asing. Sebab itu kita galakkan ibu bapa supaya sentiasa memberi tumpuan dan perhatian kepada si manja. Usah berkompromi dalam isu hubungan dan kasih-sayang kerana ia boleh mempengaruhi psikologi kanak-kanak ketika mereka membesar,” katanya.

Mendidik anak

Sekalipun berat, namun ibu bapa tetap perlu menerima hakikat bahawa pendidikan seks harus diterap di setiap peringkat umur kanak-kanak kerana ia membabitkan pembelajaran sepanjang hayat.

“Dalam zaman serba canggih ini, ibu bapa harus menguasai ilmu teknologi dan berusaha membimbing anak-anak melayari Internet secara sihat supaya tidak terjebak dalam gejala pornografi dan terdedah kepada ancaman pedofilia.

“Mereka perlu proaktif mendidik anak. Contohnya, ibu bapa di rumah perlu mengamalkan komunikasi terbuka dan asertif untuk menyampaikan maklumat, mengambil kira perwatakan dan kematangan anak-anak. Rangkalah satu jawapan yang baik, jelas dan sesuai dengan usia anak sekiranya mereka bertanyakan soal seks.

“Dalam Islam, pendidikan seks seharusnya bermula dari rumah. Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad fil Islam menulis secara terperinci mengenai pendidikan seksual ini mengikut empat tahap umur iaitu mumayyiz (7-10 tahun) yang mana mereka diasingkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan dan diajar adab melihat juga adab meminta izin apabila ingin masuk ke bilik ibu bapa.

“Tahap kedua ialah prabaligh iaitu murahiqah (10-13 tahun). Meraka dididik mengenai perubahan diri juga diawasi daripada perkara yang boleh merangsang nafsu seks. Tahap ketiga umur akil baligh iaitu 14 hingga 16 tahun. Mereka diajar adab berhubungan antara lelaki dan perempuan dan tahap terakhir pada usia 17 tahun ke atas. Mereka ini diberi kefahaman mengenai tanggungjawab reproduksi dan dididik dengan adab menjaga maruah serta kehormatan diri,” katanya.

Jelas Che Asmah, di pusat pendidikan prasekolah dan sekolah rendah kini kanak-kanak seawal usia enam tahun sudah diajar solat dan wuduk. Justeru, tidak salah jika mereka turut diberi penjelasan mengenai haid dan air mani yang membatalkan wuduk.

“Ini bukanlah perkara tabu yang tidak boleh dibincangkan dan diterangkan kepada anak, bahkan ia satu keperluan bagi mereka untuk memahami sistem tubuh dan kepentingan untuk menjaganya.

“Pada era teknologi pesat ini, sekiranya kita tidak proaktif mendidik anak perihal ini, mereka sendiri akan mendapatkan informasi dari sumber Internet yang lebih cepat atau daripada rakan sebaya yang mana kita khuatiri ianya tidak tepat dan tidak sihat.

“Pada usia muda beginilah sebaiknya anak diberi pendedahan mengenai bahaya ancaman jenayah seksual oleh pelaku pedofilia. Bukan saja ibu, malah bapa turut berperanan membimbing mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat daripada orang asing. Ini antara bahagian paling penting dalam pendidikan seksual kanak-kanak kerana kegagalan kita memberi kefahaman sewajarnya kepada mereka akan menyebabkan kes seumpama itu tidak dilaporkan.

“Selain itu, kanak-kanak juga perlu diajar untuk sensitif dan berhati-hati dengan persekitaran, dipersiapkan dengan kemahiran melindungi diri dan dibimbing cara bertindak untuk mencegah perkara buruk. Kekalkan komunikasi baik dengan anak-anak dan galakkan mereka berinteraksi mengenai rutin harian,” katanya.

Beliau berkata, komunikasi berkualiti antara ibu bapa dan anak akan mencipta telepati kuat antara mereka. Dengan cara ini, ibu bapa biasanya akan memiliki gerak hati jika ada sesuatu perkara yang kurang baik berlaku atau perubahan negatif pada anak.

“Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memupuk keyakinan diri anak-anak supaya berani bersuara dan berkomunikasi sekiranya dibuli atau didera oleh salah seorang daripada pelaku jenayah seksual. Dalam masa sama, ibu bapa juga perlu sentiasa bersedia untuk mendengar, mempercayai dan menyiasat setiap aduan dari anak-anak walaupun membabitkan ahli keluarga terdekat dan orang yang dipercayai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 12:54 PM