APLIKASI media sosial yang bebas digunakan oleh remaja atau kanak-kanak memudahkan kerja penjenayah seksual memerangkap mangsa.
APLIKASI media sosial yang bebas digunakan oleh remaja atau kanak-kanak memudahkan kerja penjenayah seksual memerangkap mangsa.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bilangan angka menakutkan apabila dianggarkan seramai enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari di negara ini sejak tiga tahun lalu. Malah golongan remaja serta kanak-kanak lelaki tidak terkecuali menjadi mangsa utama jenayah jijik ini.

Statistik diperoleh itu berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merekodkan sebanyak 6,897 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja bagi tempoh tiga tahun antara 2018 hingga 2020.

Data polis mendapati pelbagai aplikasi media sosial digunakan remaja serta kanak-kanak antaranya WhatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, Telegram, Bigo, Messenger, BeeTalk, TikTok dan Twitter menyumbang kepada perlakuan jenayah seksual ini.

Daripada jumlah itu, 3,324 kes membabitkan jenayah rogol; Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (2,483 kes); sumbang mahram (708 kes); rogol berkumpulan (175 kes); seks luar tabii (120 kes); pornografi kanak-kanak (54 kes); pengantunan kanak-kanak (25 kes) dan cabul kehormatan (8 kes).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya menerima 2,010 kes jenayah seksual membabitkan kedua-dua golongan itu pada 2018, manakala 2,297 kes direkodkan pada 2019 dan 2,590 kes pada tahun lalu.

Menurutnya, angka itu menunjukkan peningkatan kes jenayah seksual kepada remaja dan kanak-kanak terus meningkat walaupun ketika negara dilanda pandemik covid-19 bermula awal tahun lalu.

"Ini dibuktikan apabila jumlah kes diterima tahun lalu (2020) membabitkan jenayah rogol adalah sebanyak 1,105 kes diikuti Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak sebanyak 1,100 kes.

"Manakala kes sumbang mahram direkodkan adalah sebanyak 223 kes; rogol berkumpulan (175 kes); seks luar tabii (120 kes); pornografi kanak-kanak (54 kes); pengantunan kanak-kanak (25 kes) dan cabul kehormatan (8 kes).

"Bagi tahun 2018, jumlah kes yang diterima membabitkan jenayah rogol adalah 1,028 kes; Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (631 kes); sumbang mahram (227 kes); rogol berkumpulan (76 kes); seks luar tabii (24 kes); pornografi kanak-kanak (41 kes); pengantunan kanak-kanak (13 kes) dan cabul kehormatan (8).

"Pada 2019 pula, jumlah kes yang direkodkan membabitkan jenayah rogol adalah 1,191 kes; Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (752 kes); sumbang mahram (258 kes); rogol berkumpulan (41 kes); seks luar tabii (40 kes); pornografi kanak-kanak (6 kes) dan pengantunan kanak-kanak (9 kes)," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, baru-baru ini.

Siti Kamsiah berkata, seramai 7,042 mangsa termasuk 452 mangsa lelaki berusia antara bawah 15 tahun hingga 25 tahun direkodkan dalam lapan kategori jenayah seksual berkenaan sepanjang tempoh tiga tahun itu.

"Daripada jumlah itu, seramai 3,338 adalah mangsa rogol, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (2,625 mangsa termasuk 444 lelaki); sumbang mahram (708 mangsa); rogol berkumpulan (175 mangsa); seks luar tabii (120 mangsa); pornografi kanak-kanak (42 mangsa termasuk lima lelaki); pengantunan kanak-kanak (26 mangsa termasuk tiga lelaki) dan cabul kehormatan (8 mangsa).

"Selain itu, kami turut merekodkan 8,113 suspek termasuk 12 wanita yang terbabit dalam lapan kategori jenayah seksual berkenaan sepanjang tempoh tiga tahun berkenaan.

"Daripada jumlah itu, 4,180 suspek lelaki yang direkodkan membabitkan jenayah rogol; Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (2,577 suspek termasuk sembilan wanita); sumbang mahram (406 suspek); rogol berkumpulan (743 suspek); seks luar tabii (120 suspek); pornografi kanak-kanak (51 suspek termasuk dua wanita); pengantunan kanak-kanak (28 suspek termasuk seorang wanita) dan cabul kehormatan (8 suspek)," katanya.

Beliau berkata, daripada 6,897 kes dilaporkan sepanjang tempoh tiga tahun terbabit, sebanyak 784 kes direkodkan ada mempunyai elemen media sosial dalam lima kategori jenayah seksual berkenaan membabitkan rogol, rogol berkumpulan, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, pornografi kanak-kanak serta pengantunan kanak-kanak.

"Berdasarkan statistik, aplikasi WhatsApp mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 334 kes; WeChat (224 kes); Instagram (112 kes); Facebook (71); MiChat (20 kes); Telegram (8 kes); Bigo (7 kes); Messenger (4); BeeTalk (2 kes) dan masing-masing satu kes bagi TikTok dan Twitter)," katanya.

Salah guna kemudahan internet

Kuala Lumpur: Kemudahan internet yang penting bagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebaliknya menyebabkan ramai remaja terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral termasuk kegiatan seksual.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, jenayah seksual yang berlaku adalah disebabkan wujud peluang untuk melakukan perbuatan terbabit dengan kemudahan teknologi yang disalah guna.

Menurutnya, keadaan menjadi tidak terkawal apabila digabung dengan faktor lain membabitkan mangsa itu sendiri, pelaku dan persekitaran.

"Sebagai contoh, kebanyakan kes rogol membabitkan kanak-kanak atau remaja bermula dengan interaksi di media sosial dengan pelaku (suspek) yang baru sahaja dikenali. Hasil interaksi itu, mangsa mula mendedahkan imej mereka tanpa menyedari bahaya tindakan itu.

"Ada kes yang kami terima membabitkan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang berkongsi gambar bogelnya kepada individu baru dikenali melalui media sosial. Namun, perbuatan itu disedari ibu bapanya yang kemudian membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, baru-baru ini.

Siti Kamsiah berkata, masih ramai individu dalam masyarakat tidak memandang serius risiko serta bahaya yang boleh mengundang kepada aktiviti seksual terhadap golongan kanak-kanak serta remaja di internet.

Menurutnya, kebebasan tanpa kawalan terhadap anak-anak untuk melayari laman sosial dan berinteraksi di dalam media sosial ketika Perintah Kawalan pergerakan (KPK) turut boleh mengundang gejala sosial teruk parah.

"Usia muda dan mudah diperdaya dengan kata-kata cinta menyebabkan golongan remaja menjadi mangsa golongan penjenayah pedofilia atau perkongsian tidak senonoh di media sosial," katanya.

Beliau berkata, keadaan diburukkan lagi apabila ada ibu bapa sendiri memuat naik gambar atau video anak-anak tanpa tapisan kerana merasakan apa yang dilakukan adalah hak peribadinya.

"Apa yang perlu kita tahu adalah setiap gambar atau video yang dimuat naik di media sosial adalah menjadi tontonan umum sekali gus mendedahkan anak-anak kepada pelaku termasuk pedofilia yang sentiasa mencari peluang melalui saluran itu (internet)," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam isu berkenaan dengan mengenal pasti risiko berdasarkan perkembangan semasa selain memantau penggunaan internet oleh anak-anak.

"Selain pengajaran secara formal, ibu bapa perlu membimbing anak-anak supaya tahu etika berinteraksi di alam maya selain mengenal pasti kecenderungan semasa anak-anak di internet.

"Pada masa sama, golongan kanak-kanak serta remaja perlu diterapkan dengan rasa tanggungjawab supaya mereka ada kepatuhan tinggi daripada melakukan aktiviti tidak bermoral," katanya.

APLIKASI media sosial yang bebas digunakan oleh remaja atau kanak-kanak memudahkan kerja penjenayah seksual memerangkap mangsa.
APLIKASI media sosial yang bebas digunakan oleh remaja atau kanak-kanak memudahkan kerja penjenayah seksual memerangkap mangsa.

Remaja 'lelong' diri di Litmatch

Kuala Lumpur: Sanggup 'lelong' diri untuk dapat pasangan. Itu situasi yang boleh dilihat melalui aplikasi temu janji 'Litmatch' yang kebanyakannya disertai golongan remaja berusia bawah 17 tahun.

Wartawan Harian Metro yang melakukan penyamaran sebagai seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mendapati aplikasi itu dimonopoli oleh golongan muda yang mendakwa berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Di dalam aplikasi itu juga, terdapat ruangan khas dikenali sebagai 'party chat' yang dibuat oleh pemilik akaun tertentu untuk mencari pasangan dengan mengadakan 'lelongan' diri sendiri.

Individu berminat menjadi pasangan pemilik akaun terbabit boleh menyertai ruangan itu.

Individu yang berminat akan membida dengan memberikan jumlah berlian (diamond) yang boleh dibeli pada harga serendah RM3.99. Individu yang memenangi bidaan itu akan menjadi pasangan kepada pemilik akaun yang membuka ruangan itu.

Dalam tempoh dua minggu penyamaran itu, wartawan dihubungi kira-kira 12 remaja perempuan berusia 15 hingga 17 tahun yang mahu berkenalan. Mereka mengaku berasal dari luar bandar di Utara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Menerusi perbualan dengan pemilik akaun itu, kebanyakan mereka menyatakan hasrat mencari pasangan untuk hiburan semata-mata di dalam aplikasi itu dengan alasan mahu rasa lapang kerana bosan di rumah.

Malah, ada di antara pemilik akaun itu dengan terbuka bersembang mengenai perlakuan seks tanpa segan silu.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil meminta ibu bapa melakukan pemantauan terhadap penggunaan aplikasi pada telefon pintar anak-anak bagi mengelakkan mereka terjerumus dengan aktiviti tidak bermoral khususnya aktiviti seksual.

Katanya, pihaknya mengesan terdapat aplikasi di media sosial yang dilihat boleh memudaratkan kedua-dua golongan terbabit dengan pendedahan melampau.

"Ibu bapa perlu melakukan pemeriksaan terhadap aplikasi dimuat turun pada peranti anak yang dilihat tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada mereka kerana ia membuka peluang untuk berlakunya jenayah siber.

"Malah, pendedahan melampau golongan kanak-kanak dan remaja di media sosial akan mendedahkan mereka kepada pemangsa iaitu individu pedofilia yang sentiasa mencari mangsa di internet," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Siraj berkata, selain ibu bapa, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memainkan peranan dengan menyekat aplikasi media sosial yang memberikan impak negatif seperti Litmatch.

"Aplikasi itu masih baru lagi di negara ini dengan kebanyakannya digunakan oleh golongan remaja yang mmasih bersekolah. Penggunaan aplikasi itu yang lebih kepada untuk mencari pasangan adalah tidak sesuai bagi golongan remaja masih bersekolah.

"Justeru itu, adalah lebih baik sekiranya aplikasi berkenaan disekat daripada terus digunakan golongan remaja di negara ini memandangkan ia masih baru sebelum penggunaannya berkembang dengan meluas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 2:00 PM