GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Golongan penjenayah pedofilia yang kemaruk melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak didapati semakin bertambah setiap tahun di negara ini.

Ini terbukti apabila Polis Bukit Aman merekodkan 2,436 kes jenayah fizikal dan bukan fizikal dilakukan golongan ini terhadap kanak-kanak sejak tiga tahun lalu.

Lebih membimbangkan apabila kes jenayah seksual ini didapati meningkat mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 membabitkan 1,065 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu kewujudan golongan pedofilia di negara ini berdasar perkongsian maklumat dari luar negara dan kes dilaporkan serta tangkapan yang semakin meningkat.

"Berdasarkan statistik, kes gangguan seksual fizikal (amang seksual fizikal) pada kanak-kanak sepanjang tahun lalu (2020) adalah sebanyak 993 kes iaitu meningkat berbanding 732 kes pada 2019 dan 591 kes (2018).

"Manakala kes gangguan seksual bukan fizikal (amang seksual bukan fizikal) meningkat kepada 51 kes tahun lalu (2020) berbanding 13 kes pada 2019 dan 18 kes pada 2018," katanya.

Sementara itu menurutnya, kes pengantunan kanak-kanak (Seksyen 12) pula meningkat kepada 13 kes sepanjang tahun lalu iaitu meningkat berbanding sembilan kes (2019) dan tiga kes (2018 ).

"Manakala berjumpa selepas pengantunan (Seksyen 13) hanya merekodkan satu kes masing-masing pada 2019 dan 2020.

Kes pengantunan kanak-kanak membawa maksud individu dewasa yang berkomunikasi bersama kanak-kanak dengan niat untuk melakukan atau memudahkan pelakuan seksual yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan sebatan.

"Sementara itu bagi kes berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak menunjukkan kenaikan tujuh kes 2020 berbanding tiga kes (2019) dan satu kes (2018).

"Ada juga kes yang kita siasat membabitkan tangkapan kes pornografi kanak-kanak. Mereka ini mengaku ada kecenderungan kepada kanak-kanak. Lebih membimbangkan 70 peratus kes pesalah seksual di negara ini melakukannya terhadap mangsa dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Menurutnya, polis melakukan 25 tangkapan membabitkan pornografi kanak-kanak sepanjang tahun lalu berbanding enam kes (2019 ) dan lima kes (2018).

Siti Kamsiah berkata, kes dilaporkan membabitkan pornografi kanak-kanak turut meningkat secara mendadak tahun lalu kepada 41 kes berbanding enam kes (2019) dan tujuh kes (2018).

Ibu bapa usah muat naik gambar anak kecil di laman sosial

Penjaga dan ibu bapa dinasihati tidak memuat naik gambar anak kecil mereka di laman sosial terutama dalam keadaan tidak sempurna bagi mengelak menjadi sasaran golongan pedofilia.

Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rusyda Helma Mohd berkata, golongan pedofilia ini mempunyai kecenderungan seks terhadap kanak-kanak, malah ia boleh berlaku dalam kalangan orang terdekat.

Menurutnya, kebiasaannya kes ini terjadi apabila ibu bapa mengambil mudah terhadap isu pedofilia kerana percayakan kepada ahli keluarga sendiri.

"Kanak-kanak ini sekiranya menjadi mangsa akan mengalami trauma seumur hidup. Namun ada juga kanak-kanak yang menjadi suka dan ketagih apabila dipengaruhi individu terbabit.

"Mereka yang mengalami trauma ini apabila membesar kelak akan berdepan masalah dalam pergaulan di sekolah dan juga ketika bekerja," katanya.

Di samping itu, Rusyda Helma berkata, mangsa jenayah pedofilia ini juga boleh berdepan masalah ketika ingin berkahwin susulan trauma dihadapi sejak kecil.

"Ini terutama kepada mangsa kanak-kanak perempuan yang pernah 'diganggu' lelaki dewasa ketika kecil. Akibatnya mereka mengalami ketakutan untuk didekati.

"Jadi ibu bapa perlu mengajar anak-anak mengenal pasti sentuhan selamat dan tidak selamat supaya mereka tidak menjadi mangsa golongan pedofilia," katanya.

Menurut Dr Rusyda Helma, pedofilia adalah satu penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya berasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambar mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 2:57 PM