PENTING untuk elakkan kanak-kanak menjadi mangsa seksual. - FOTO Google
PENTING untuk elakkan kanak-kanak menjadi mangsa seksual. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


PENDIDIKAN seksualiti dan reproduktif masih tabu dalam masyarakat sehingga ia dianggap sebagai suatu topik yang memalukan dan tidak boleh dibicarakan secara terbuka.

Pendidikan yang amat penting ini sering disalah anggap sebagai mendidik seseorang untuk melakukan hubungan seks.

Kesannya, sehingga kini kesedaran dan tahap literasi kanak-kanak terhadap pendidikan seksual masih rendah.

Lebih membimbangkan apabila kes jenayah seksual ini didapati meningkat mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan 1,065 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, kes pengantunan kanak-kanak pula meningkat kepada 13 kes sepanjang tahun lalu iaitu meningkat berbanding sembilan kes (2019) dan tiga kes (2018).

Kes pengantunan kanak-kanak membawa maksud individu dewasa yang berkomunikasi atau berinteraksi bersama kanak-kanak dengan niat untuk melakukan atau memudahkan pelakuan seksual. Ia juga dikenali sebagai 'sexual grooming.'

Pakar Perubatan Kesihatan Awam International Islamic University Malaysia (IIUM), Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, pendidikan seksual adalah suatu ilmu yang memperkasakan seseorang untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa seksual.

"Ia juga adalah pendidikan untuk mengelakkan hubungan seks yang ditegah agama.

"Perkara ini amat penting berikutan dewasa ini, kes pedofilia, sumbang mahram dan rogol amat membimbangkan," katanya.

DIDIK anak dengan menggunakan intonasi suara yang betul. - FOTO Google
DIDIK anak dengan menggunakan intonasi suara yang betul. - FOTO Google

Menurutnya, salah satu langkah dalam memperkasakan kanak-kanak dengan ilmu pendidikan seksual dan reproduktif, amat penting untuk memastikan mereka memanggil bahagian sulit dengan nama sebenar.

Masih ramai ibu bapa atau orang dewasa yang mengajar kanak-kanak untuk memberikan nama panggilan kepada bahagian sulit.

"Alat sulit perlu dipanggil dengan nama sebenar dalam bahasa percakapan masing-masing atau bahasa saintifik, bukan dengan nama yang merujuk kepada makanan atau benda lain.

"Penis dipanggil 'burung' atau 'sosej,' vulva pula dipanggil 'bunga,' 'burger' atau apa-apa panggilan lain," katanya.

"Sebaliknya, kanak-kanak perlu dididik untuk menggunakan perkataan penis atau zakar (kemaluan lelaki), vulva (kemaluan perempuan), punggung dan buah dada pula merujuk kepada bahagian sulit," katanya.

Jelasnya, ada laporan menyatakan bahawa risiko seseorang kanak-kanak itu menjadi mangsa amang atau pengantunan seksual berkurangan apabila pemangsa mendapati kanak-kanak terbabit peka dengan panggilan sebenar alat sulit mereka.

"Pemangsa akan menyedari bahawa kanak-kanak ini sudah diperkasakan dengan ilmu pendidikan seksualiti.

"Kemungkinan besar kanak-kanak ini akan melaporkan sebarang kegiatan tidak bermoral atau tindakan yang mencabul kehormatannya kepada orang dewasa yang lain," katanya.

Dr Nor Faiza berkata, selain itu, memanggil nama alat sulit dengan nama sebenar akan memudahkan komunikasi.

ILMU pendidikan seksualiti dapat mengurangkan risiko menjadi sasaran pedofilia. - FOTO Google
ILMU pendidikan seksualiti dapat mengurangkan risiko menjadi sasaran pedofilia. - FOTO Google

"Sebagai contoh, seorang kanak-kanak perempuan melaporkan kepada gurunya bahawa seseorang menyentuh vulvanya. Guru akan terus mendapat informasi yang tepat tanpa perlu mengagak apa yang perlu disampaikan oleh murid itu.

"Jika kanak-kanak itu menggunakan perkataan 'bunga' untuk merujuk kepada vulva, adalah dibimbangi jika guru tidak mengambil serius laporan itu dengan beranggapan orang yang dilaporkan itu hanya menyentuh 'bunga' sebenar, bukan vulva," katanya.

Beliau menyarankan proses memperkenalkan alat sulit kepada kanak-kanak boleh dilakukan sejak usia mereka setahun.

"Paling sesuai dilakukan ketika mandi atau mengenakan pakaian. Perkenalkan perkataan vulva atau zakar dengan intonasi yang sama seperti kita memperkenalkan bahagian badan lain.

"Jangan menggunakan intonasi yang menunjukkan alat sulit adalah sesuatu yang memalukan.

"Selain itu, mereka perlu dididik mengenai konsep alat sulit adalah sesuatu yang privasi. Alat sulit tidak boleh diperlihatkan, disentuh atau dibincangkan orang lain," katanya.

Beliau berkata, sekiranya ada yang masih menggunakan nama samaran untuk merujuk kepada alat sulit, belum terlambat untuk mendidik anak-anak.

"Memperkasakan kanak-kanak dengan ilmu pendidikan seksualiti adalah salah satu langkah untuk mengelakkan anak-anak kita daripada menjadi mangsa amang atau pengantunan seksual.

"Usah berasa malu untuk memanggil alat sulit dengan panggilan sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 7:00 AM