Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim


MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran pembukaan semula gimnasium, dewan tertutup seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker, dan pusat-pusat sukan lain, bermula 15 Jun ini.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri, hari ini.

Memperincikan kebenaran itu, katanya, operator kompleks atau pusat sukan perlu mengisi borang notifikasi pembukaan terlebih dahulu melalui laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi rujukan SOP dan untuk tujuan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Borang notifikasi boleh diakses bermula hari ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memberi kebenaran kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan sama ada dalam atau luar dewan.

Gambar hiasan. FOTO NSTP
Gambar hiasan. FOTO NSTP

"Contohnya sukan individu seperti badminton, olahraga, angkat berat, sukan permotoran (dua roda dan empat roda), sukan ekstrem (payung terjun, papan luncur, paramotor) dan sukan rekreasi seperti riadah (senamrobik, yoga).

"Kebenaran ini perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 hingga 3 meter untuk aktiviti statik seperti angkat berat, berlari atas treadmill dan 3 hingga 5 meter bagi aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak, hoki dan ragbi," katanya.

Menurutnya, bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi, bola jaring dan sukan tempur seperti karate, taekwondo, silat dan sebagainya, keputusan mesyuarat masih kekal tidak boleh dimainkan secara permainan.

Katanya, ia dibenarkan untuk tujuan latihan sahaja tanpa sentuhan badan dengan penjarakan sosial 3 hingga 5 meter antara seorang dengan seorang yang lain ketika latihan.

"Penganjuran kejohanan, acara dan pertandingan sukan masih tidak dibenarkan untuk fasa ini bagi mengelakkan perhimpunan ramai. Aktiviti sukan air di kolam renang juga masih tidak dibenarkan," katanya.


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 2:23 PM