REEZAL berterima kasih kepada MKN, KKM.
REEZAL berterima kasih kepada MKN, KKM.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kebenaran beberapa sektor sukan dan rekreasi untuk beroperasi di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa esok.

Bagaimanapun, bagi penganjuran kejohanan tempatan hanya Liga Bola Sepak Malaysia, Liga Hoki Malaysia dan Liga Sepak Takraw dibenarkan dianjurkan setakat ini.

Sebarang kejohanan lain termasuk penganjuran perlumbaan permotoran perlulah memohon kebenaran KBS dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan penghargaan dan terima kasih bagi pihak penggiat sukan dan industri sukan.

"KBS menghargai komitmen daripada kementerian, pasukan MKN serta KKM yang amat positif dengan permohonan KBS dengan pendekatan pro aktif memperkenalkan pasukan pemantauan dan kawalan melalui sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble Volunteers (SBV).

"SBV ini yang terdiri daripada anak-anak muda juga bersifat pendayaupayaan komuniti (community empowerment) dan ini antara satu contoh model yang baik dalam memantau aktiviti sektor sukan dan rekreasi dengan memainkan peranan advokasi pematuhan kepada SOP yang ditetapkan ketika PKP2.0 ini," katanya.

Kelulusan fasa kedua ini membabitkan jenis aktiviti sukan dan rekreasi membabitkan aktiviti yang tidak bersentuhan seperti jogging, brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja.

Tenis, badminton, ping pong (acara perseorangan sahaja), permotoran (dua roda dan empat roda), gimnasium dan golf. Aktiviti kemahiran sukan berpasukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw yang dilakukan secara latihan kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan) juga dibenarkan.

Penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial membabitkan pusat kecergasan,gimnasium, dewan badminton, gelanggang tenis, ping pong, takraw, padang hoki, bola sepak, futsal, bola keranjang, pusat litar permotoran dan padang golf hendaklah secara penjadualan dan tempahan.

Sehingga kini semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang membabitkan sentuhan, masih lagi tidak dibenarkan.

KBS berharap agar semua penggiat sukan akan mematuhi tatacara dan SOP yang dikuatkuasakan pada setiap masa agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung dan aktiviti sukan dan rekreasi dapat dilaksanakan dengan baik dan selamat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 11:08 PM