Datuk Seri Reezal Merican.
Datuk Seri Reezal Merican.
Firdaus Hashim


SEMUA pemegang taruh bola sepak negara terutama pemain dan jurulatih kini mampu menarik nafas lega apabila kemungkinan aktiviti bola sepak dibenarkan semula oleh kerajaan dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beberapa jenis sukan khususnya berpasukan diperhalusi untuk diberi kebenaran atau kelonggaran selepas kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) melarang aktiviti sukan diadakan sebelum ini.

Antara sukan yang bakal menerima perkhabaran gembira termasuk bola sepak, hoki, ragbi, sepak takraw dan lain-lain untuk tujuan latihan mahupun riadah.

"Akan ada pengumuman rasmi mengenai aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan atau dilarang dalam masa terdekat ini.

"Antara yang dipertimbangkan oleh kerajaan adalah membenarkan pembukaan fasiliti sukan tertutup seperti gimnasium, dewan badminton dan lain-lain serta membenarkan aktiviti sukan berpasukan secara beransur seperti bola sepak, hoki, sepak takraw, ragbi," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Reezal tetap menegaskan aktiviti berkenaan perlu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu dengan penjarakan sosial 2 hingga 5 meter.

"Aktiviti latihan dan aktiviti permainan perlu dijalankan 'tanpa kontak fizikal' dengan penjarakan sosial dan tidak membabitkan himpunan ramai. Apa-apa tunggu pengumuman rasmi kelak," katanya.

Perkhabaran terbaharu ini tentu menggembirakan semua pihak termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), persatuan bola sepak negeri (FA) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang sebelum ini bercadang untuk kembali menyambung saingan Liga Malaysia (Liga M) pada September ini.

Difahamkan, dua kertas kerja membabitkan SOP latihan pasukan kebangsaan dan kelab Liga M disediakan FAM dan MFL yang bakal dihantar kepada MKN minggu depan.

Pada Isnin lalu, dua jenis sukan di bawah program Road To Tokyo (RTT) yang tidak membabitkan 'body contact' iaitu badminton dan perahu layar dibenarkan menjalani latihan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 7:01 AM