Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Aktiviti sukan dan rekreasi tanpa membabitkan sentuhan seperti joging, brisk walking, berbasikal, tenis, badminton, ping pong, permotoran, latihan kemahiran kendiri secara berseorangan, gimnasium dan golf dibenarkan bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengemukakan permohonan untuk membenarkan beberapa lagi aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu dan peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara.

Menurutnya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan bersetuju untuk membenarkan aktiviti sukan joging/ brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja.

"Sukan tenis, badminton, ping pong pula hanya membabitkan acara perseorangan sahaja dan sukan permotoran (dua roda dan empat roda).

"Aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki, dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan), " katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.

SUKAN tenis turut dibenarkan esok.
SUKAN tenis turut dibenarkan esok.

Ismail Sabri berkata, penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial seperti pusat kecergasan, gimnasium, dewan badminton, gelanggang tenis, ping pong, sepak takraw, padang hoki, bola sepak, futsal, bola keranjang, pusat litar permotoran dan padang golf hendaklah secara penjadualan dan tempahan," katanya.

''Sehingga kini semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang membabitkan sentuhan, masih lagi tidak dibenarkan.

"Prosedur operasi standard (SOP) terperinci boleh dirujuk di laman sesawang KBS dan MKN. Pematuhan SOP turut akan dipantau oleh pasukan sukarelawan yang ditubuhkan atas inisiatif KBS iaitu Rakan Muda Sports Bubble Volunteers," katanya.

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 7:10 PM