KONTINJEN Terengganu tak rela kehilangan gelaran jagoan Sukma.
KONTINJEN Terengganu tak rela kehilangan gelaran jagoan Sukma.
Malik Muhamad


JUARA bertahan Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Terengganu kembali membara untuk mengekalkan status itu selepas berita gembira diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membenarkan sukan tertentu termasuk permainan berpasukan menjalani latihan di gelanggang dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah Majlis Sukan negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu berkata, pengumuman itu ternyata melegakan atlet selepas hampir tiga bulan `berkurung' di rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa pemulihan.

Katanya, dengan kelonggaran itu, impian Terengganu untuk mengekalkan status juara bertahan kembali bersinar kerana sukan individu yang tidak melibatkan sentuhan anggota badan sudah boleh berlatih, begitu juga dengan sukan berpasukan kini dibenarkan bermula Isnin depan.

Beliau berkata, bagi memastikan atlet berasa lebih selesa dan selamat daripada penularan wabak Covid-19, MSNT juga mengambil langkah proaktif dengan menyediakan SOP sendiri mengikut garis panduan kerajaan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

"Pengumuman kerajaan dan KBS memberi kegembiraan kepada warga sukan dengan kelonggaran latihan sukan dan riadah setelah sekian lama latihan yang berkualiti dan sempurna tidak dapat dijalankan.

"Dengan kebenaran sukan-sukan individu tanpa sentuhan anggota badan sudah boleh berlatih semula seperti biasa dengan mematuhi SOP ditetapkan seperti tenis, memanah, angkat berat, olahraga, berbasikal, badminton, menembak, sepak takraw dan gimnastik, ianya memberi sinar buat atlet kita untuk terus bersaing dalam Sukma.

"Bagi sukan berpasukan pula kita akan berlatih dengan kawalan bilangan atlet pada satu-satu masa dan jarak bagi aktiviti statik antara jarak 1 hingga 3 meter (m) dan aktiviti dinamik jaraknya antara 3 hingga 5 m setiap individu serta aktiviti ini tidak melibatkan sentuhan badan tetapi tertumpu kepada aktiviti kemahiran dan kecergasan sahaja seperti sukan bola sepak, hoki dan ragbi manakala sukan melibatkan tempur pula atlet akan berlatih tetapi tidak ada aktiviti latihan melibatkan `sparing' atau sentuhan badan.

"Walaupun begitu, kita sentiasa berhati-hati dan bersedia mematuhi arahan pihak berwajib untuk mengelak menjadi kluster baharu jangkitan wabak Covid-19 dan dalam masa sama latihan berkualiti dapat dijalankan bagi memastikan misi tercapai," ujar Ibni.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 2:52 PM