BADDROL meraikan gol penyamaan pasukannya. FOTO Luqman Hakim Zubir
BADDROL meraikan gol penyamaan pasukannya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak memuji usaha gigih kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar dan pasukannya selepas bangkit menewaskan PJ City FC 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Menurut Aidil, beliau berpuas hati dengan hasil kerja keras Baddrol dan semua pemain yang telah menampilkan usaha 100 peratus dan tidak mudah menyerah kalah walaupun ketinggalan satu gol pada babak pertama perlawanan itu.

"Saya gembira dengan sumbangan gol daripada Baddrol yang diperolehi pada babak kedua meskipun dia memiliki peluang terbaiknya pada babak pertama.

"Apa yang penting, dia telah menunjukkan peningkatan kembali dan membuktikan kepentingannya dalam pasukan. Saya berharap ini permulaan yang baik untuknya dan juga pemain lain untuk menghadapi perlawanan seterusnya bertemu UiTM FC."

Sementara itu, kecederaan dialami Darren Lok dan K Gurusamy pada babak pertama antara punca PJ City FC gagal memberi saingan pada babak kedua.

Pengendali PJ City FC , P Maniam berkata kecederaan dua tonggak berkenaan memberi kesan dalam perlawanan itu walaupun skuadnya mendahului dengan satu gol di babak pertama.

"Mereka berdua umpama pemain import untuk PJ City dan saya harap mereka segera pulih untuk berdepan Sri Pahang selepas ini. Selain itu, kealpaan benteng pertahanan pada babak kedua juga merupakan satu lagi faktor dimana pemain perlu mempertingkatkan lagi permainan semasa mengadapi situasi serangan 'set piece'.

"Saya akui keadaan ini tidak berapa baik untuk kami, tetapi saya tetap percaya semua pemain akan cepat bangkit dan mereka memang dilihat bersungguh-sungguh dalam setiap aksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 3:14 PM