ORANG ramai mengusung mayat yang ditemukan di kubur besar di Hospital Nasser. FOTO AFP
ORANG ramai mengusung mayat yang ditemukan di kubur besar di Hospital Nasser. FOTO AFP
AFP

Gaza: Selepas mencari anaknya selama berbulan-bulan, seorang wanita Palestin, Reem Zidan, akhirnya menemukan anaknya yang meninggal dunia di luar sebuah hospital Gaza.

Zidan berkata, naluri keibuannya kuat mengatakan mayat yang dilihat berada di jentolak adalah anak lelakinya, Nabil berusia setahun.

"Saya tidak berjumpa dia selama tiga bulan, dan hari ini saya menjumpainya," katanya yang berasal dari bandar selatan Gaza, Khan Yunis.

Ketika pertempuran reda di Khan Yunis selepas tentera Israel berundur dari kawasan itu dalam memerangi Hamas, petugas kesihatan mula mengeluarkan mayat yang dikebumikan di sebelah Hospital Nasser di bandar itu.

Agensi Pertahanan Awam Gaza, Selasa lalu berkata, pekerja sudah menemui hampir 340 mayat selama beberapa hari yang dikebumikan oleh tentera Israel di hospital itu.

"Kami terkejut bahawa di dalam Kompleks Perubatan Nasser terdapat kubur besar yang dibuat oleh tentera Israel," kata jurucakap Pertahanan Awam Mahmoud Bassal.

Beberapa ibu bapa memberitahu pemberita yang mana mayat yang ditemukan sudah dikebumikan oleh saudara-mara.

Tidak seperti Zidan, orang lain yang pergi ke kompleks Nasser dengan harapan untuk mengalihkan mayat saudara, tidak dapat menemui mereka.

Sonia Abu Rajilah, 52, dari Khan Yunis, berkata, anaknya Hazem, 29, dikebumikan oleh rakannya berhampiran hospital, tetapi dia dan anak lelakinya yang lain tidak dapat menemukannya.

"Sekarang saya menunggu antara mayat yang ditarik keluar, dengan harapan dapat mengenali mayatnya," katanya.

Gesaan siasatan antarabangsa terhadap kematian di Hospital Nasser semakin meningkat, termasuk daripada kumpulan hak asasi manusia Amnesty International.

"Tanpa penyiasatan yang sewajarnya untuk menentukan bagaimana kematian ini berlaku atau pelanggaran yang mungkin dilakukan, kita mungkin tidak akan dapat mengetahui kebenaran kengerian di sebalik kubur besar-besaran ini," kata pengarah dasar kumpulan hak asasi manusia Erika Guevara, dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 8:58 AM