PEMAIN Kedah Rizal Ghazali cuba menyekat kemaraan import Melaka United, Sony Norde pada perlawanan Liga Super  di Stadium Darul Aman. FOTO Bernama
PEMAIN Kedah Rizal Ghazali cuba menyekat kemaraan import Melaka United, Sony Norde pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melakar sejarah apabila berjaya mengekalkan kedudukan naib juara Liga Super untuk dua tahun berturut-turut selepas membenam Melaka United 4-1 pada aksi saingan di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Dengan kemenangan ini Kedah menamatkan saingan pada kedudukan kedua liga Super dan menjadi pasukan pertama yang layak ke peringkat saingan Piala AFC untuk musim depan selepas mengumpul 43 mata.

Kemenangan ini juga menyaksikan kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar muncul penjaring terbanyak untuk kategori pemain tempatan selepas melengkapkan gol ke tujuhnya pada perlawanan ini.

Pelawat lebih dahulu melakukan serangan bahaya ke pintu gawang Kedah melalui tandukan Giovane Gomes pada minit keempat namun Ifwat Akmal Chek Kassim lebih bersedia menepis bola keluar.

Kedah berjaya memimpin perlawanan pada minit ke-23 apabila penyerang Kipre Tchetche melengkapkan hantaran cantik daripada Fadzrul Danel dengan percubaan dengan rembatan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gawang Melaka United, Norazlan Razali.

Kipre Tchetche sekali lagi menceriakan skuad Hijau Kuning apabila menyumbat gol kedua Kedah melalui sepakan penalti pada minit ke-29 selepas pengadil Zulkarnain Zakaria memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah apabila Baddrol dikasari di dalam kotak penalti.

Melaka cuba bangkit semula mencari gol namun kekebalan benteng Kedah menyaksikan kedudukan 2-0 itu berlanjutan hingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, Melaka terus mengasak kubu Kedah memburu gol dan akhirnya penyerang Adriano Aperecido berjaya meledak gol pertama Melaka pada minit ke-59 hasil dari hantaran Khairul Anwar Shahrudin.

Kedah yang tersentak dengan gol Melaka itu sekali lagi bangkit melalui gol jaringan Baddrol pada minit ke-65 ketika hujan turun dengan lebat di Stadium Darul Aman.

Selang tiga minit kemudian, pemain gantian Fayadh Zulkiffl yang masuk beraksi di bahagian sayap kanan, terus menghukum Melaka dengan jaringan keempat selepas bola gagal ditampan kemas penjaga gawang pelawat.

Kedudukan 4-1 itu kekal hingga ke hujung perlawanan untuk melengkapkan malam gemilang Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 11:21 PM