SHERMAN meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO FB Kedah Darul Aman FC
SHERMAN meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO FB Kedah Darul Aman FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencipta kemenangan pertama musim ini apabila membenam Sabah FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman.

Dua gol menerusi Kpah Sherman dan Kipre Tchetche menceriakan kembali skuad bimbingan Aidil Sharin selepas tewas pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Jumaat lalu.

Pemain sayap, Tchetche tidak menunggu lama apabila menembusi gawang Sabah pada minit ke-15 selepas percubaan awal oleh Sherman ditampan barisan pertahanan Sabah.

Kedah terus bernafsu dengan menghasilkan gol kedua selang lima minit kemudian dan kali ini giliran Sherman pula yang mendapat hantaran Tchetche dengan melakukan larian pantas menewaskan pemain dan penjaga gol Sabah Robson Rendy untuk gol peribadi pertamanya musim ini.

Skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto melancarkan gerakan diketuai Amri Yahyah cuba bangkit semula mencari gol pertama dan turut mencemaskan beberapa kali pertahanan Kedah, namun benteng Kedah dilihat lebih bersedia sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua pula Sabah terus menggandakan asakan memburu gol dengan peluang menerusi Alto Linus pada minit ke-69 yang hampir menewaskan Shahril Saari namun kedudukannya disahkan offside.

Percubaan Sabah pada minit ke-84 menerusi Booby Gozales dan Arjusdius Jais dua minit kemudian juga gagal dan kedudukan 2-0 kekal hingga ke hujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 11:41 PM