SHERMAN (kanan) turut meledak jaringan buat pasukan Kedah semalam. FOTO Ihsan Facebook Kedah FA
SHERMAN (kanan) turut meledak jaringan buat pasukan Kedah semalam. FOTO Ihsan Facebook Kedah FA
Izzali Ismail

KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak memuji sikap dan semangat juang anak buahnya yang berjaya bangkit mencipta kemenangan 2-1 keatas Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium Darul Aman semalam.

"Syukur dan pujian kepada semua pemain yang berjaya bangkit dengan semangat memburu kemenangan kali ketiga, dengan tidak mudah berputus asa.

"Dengan satu gol ketinggalan pada babak awal, kita masih berjaya bangkit kembali, dan dengan beberapa pertukaran taktikal, ia memberi kesan positif kepada pasukan untuk mendapatkan tiga mata yang kami harapkan di laman sendiri.

"PJ City bukanlah satu pasukan yang mudah dan selepas meneliti bagaimana mereka beraksi menentang Selangor, pemain saya turun dengan keyakinan tinggi demi mendapatkan tiga mata kerana kita tahu bukan mudah untuk mendapatkan dua gol atau lebih bila berhadapan mereka.

"Moral pemain antara faktor berjaya membawa kemenangan walaupun tidak bermula dengan aksi sepenuhnya dalam sepuluh minit pertama disebabkan keadaan padang yang basah, namun pemain menunjukkan usaha yang baik seperti Baddrol Bakhtiar yang bekerja keras.

"Irfan Zakaria yang meningkatkan persembahannya dari setiap perlawanan serta Nurfiqrie Abdul Talib yang bermula dengan bukan pemain utama tapi berjaya mendapat tempat kesebelasan utama" katanya.

Aidil juga melahirkan ucapan ucapan terima kasih kepada Bendahari KFA yang hadir memberi 'suntikan semangat' buat semua pemain di bilik persalinan sebelum perlawanan berlangsung.

"Kehadiran beliau juga membawa berita yang gembira kami, tetapi saya tidak mahu menyatakan apakah 'hadiah' yang diumumkan kepada pemain, dan ini juga menyebabkan moral pemain meningkat dan inilah yang kami mahukan daripada pihak pengurusan yang berusaha sedikit demi sedikt untuk mengubah keadaan berbanding sebelum ini.

"Keadaan bertambah baik kini berbanding sebelumnya dan saya berharap perubahan yang dilakukan ini akan menjadi lebih baik lagi selepas ini.

"Seterusnya kami akan berusaha dengan memberi fokus untuk perlawanan menentang Felda United pada 12 September ini dan ini satu lagi perlawanan yang tidak mudah diatas padang tiruan dan memerlukan persiapan rapi dari segi kecergasan." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 2:14 PM