DARREN (kiri) dan Gurusamy umpama pemain import untuk PJ City. FOTO NSTP
DARREN (kiri) dan Gurusamy umpama pemain import untuk PJ City. FOTO NSTP
Izzali Ismail


Alor Setar : Kecederaan yang dialami Darren Lok dan K Gurusamy pada babak pertama perlawanan dikatakan antara punca PJ City FC gagal memberi saingan yang dirancang selepas tumpas 1-3 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Pengendali PJ City FC , P Maniam berkata kecederaan dua pemain penting berkenaan telah memberi kesan dalam perlawanan itu walaupun skuadnya mendahului dengan satu gol di babak pertama.

"Mereka berdua adalah umpama pemain import untuk PJ City dan saya harap mereka segera pulih untuk menghadapi skuad Sri Pahang selepas ini.

"Selain itu, kealpaan benteng pertahanan pada babak kedua juga adalah satu lagi faktor di mana pemain perlu mempertingkatkan lagi permainan semasa menghadapi situasi serangan 'set piece'.

"Saya akui keadaan ini tidak berapa baik untuk kami, tetapi saya tetap percaya semua pemain akan cepat bangkit selepas ini dan mereka memang dilihat bersungguh-sungguh dalam setiap aksi." katanya.

P. Maniam juga berkata pihaknya belum dapat memastikan sama ada Darren dan Gurusamy boleh kembali cergas beraksi atau sebaliknya untuk perlawanan menentang Sri Pahang Ahad ini.

"Kita akan memantau keadaan mereka dalam tempoh sehari dua ini sebelum membuat sebarang keputusan kerana mereka berdua ini adalah umpama pemain import untuk PJ City dan saya harap mereka segera pulih untuk menghadapi Sri Pahang nanti.

"Saya yakin dalam tempoh dua hingga tiga hari ini pemain akan kembali bersemangat untuk bertemu Sri Pahang." katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:23 PM