Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak. -FOTO Izzali Ismail
Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak. -FOTO Izzali Ismail
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Faktor kegagalan mengambil peluang mendapatkan gol tambahan menjadikan sebab Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa berputih mata apabila tewas mengejut 1-3 kepada Melaka United pada aksi kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman semalam.

Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak yang meluahkan rasa kecewanya sebaik tamat berkata, skuadnya banyak melepaskan peluang 'terhidang' selepas mendahului lawan dengan satu gol di awal babak pertama.

"Kami tidak mengambil peluang yang ada dan jika dilihat kami lepaskan lapan peluang menghasilkan gol dan pihak lawan menghukum kami bila mereka mendapat peluang terbaik.

"Saya memang kecewa kerana tiga gol yang kita 'lepaskan' adalah kesilapan berulang namun saya tidak menyalahkan pemain dan saya mengambil tanggungjawab diatas kekalahan ini," katanya.

Aidil juga berkata, sebagai jurulatih, beliau akan mengenal pasti aspek kelemahan yang ketara termasuk benteng pertahanan selepas melihat kelemahan dan kesilapan yang menyebabkan skuadnya tidak berada pada tahap terbaik seperti yang dirancang.

"Tiga jaringan yang dibolosi oleh pihak lawan itu perlu kami ambil sebagai pengajaran untuk tidak mengulanginya semula.

"Apa yang penting selepas ini kami harus bangkit dan hadir dengan lebih baik untuk perlawanan selepas ini," katanya.

Tambah Aidil lagi, dalam masa yang sama beliau tidak meletakkan aspek keletihan yang menjadi penyebab kekalahan skuadnya kerana kedua-dua pasukan beraksi dalam dalam intensiti yang tinggi dan pasukan Melaka juga mengambil masa untuk datang ke Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 2:27 PM