Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

Pengumuman kerajaan untuk membuka kembali sektor pelancongan tempatan dengan Pulau Langkawi sebagai projek rintis sememangnya berita yang ditunggu ramai.

Selepas lebih setahun 'berkurung', pastinya ramai yang mengambil peluang itu untuk melepaskan tekanan sambil bercuti menghirup udara segar bersama yang tersayang.

Namun, kunjungan ke pulau peranginan yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu bagaimanapun terhad kepada individu yang sudah lengkap dos vaksin Covid-19.

Lebih mengujakan, individu yang menggunakan pesawat untuk melancong ke pulau peranginan itu bermula hari ini juga tidak perlu mendapatkan surat kebenaran polis.

Hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri terbabit perlu berbuat demikian (mendapatkan surat kebenaran polis).

Begitupun, semua pengunjung diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antara SOP berkenaan ialah destinasi itu boleh dikunjungi pelancong domestik dari seluruh negara termasuk yang berada dalam Fasa Satu, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

ANTARA tarikan pelancongan di Langkawi yang bakal menjadi tumpuan pengunjung.
ANTARA tarikan pelancongan di Langkawi yang bakal menjadi tumpuan pengunjung.

Selain itu, pengunjung juga diingatkan supaya sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan elakkan daripada kawasan yang sesak serta bertutup.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jenis percutian yang dibenarkan ialah secara harian (pergi dan pulang pada hari yang sama), bermalam, percutian dengan tempahan penginapan atau tiket masuk yang sudah dibuat terlebih dahulu, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan kementerian berkenaan.

Kata beliau, bilangan penumpang setiap kenderaan ketika dalam perjalanan juga adalah tertakluk kepada kapasiti sebenar kenderaan terbabit.

"Pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke Langkawi dan dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

"Mereka (pengunjung) perlu menunjukkan bukti dokumen pembelian produk pelancongan seperti tiket penerbangan, tiket feri, resit hotel atau resit pakej pelancongan ketika memohon kebenaran dengan pihak polis atau ketika diminta penguat kuasa agensi pematuhan SOP," katanya.

Dalam pada itu, aktiviti-aktiviti Gelembung Pelancongan Langkawi yang dibenarkan membabitkan penginapan di hotel dan inap desa termasuk fasiliti dalam premis hotel serta inap desa seperti surau, kolam renang, gimnasium, lounge, dewan acara pelancongan dan kebudayaan tertakluk kepada SOP am Fasa Empat dikeluarkan oleh MKN serta SOP kementerian, jabatan atau agensi yang berkaitan.

SEPI keadaan sekitar kawasan tumpuan pelancong, Pantai Cenang ketika PKP sebelum ini.
SEPI keadaan sekitar kawasan tumpuan pelancong, Pantai Cenang ketika PKP sebelum ini.

Manakala aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat 'edutainment', taman rekreasi, pengembaraan ekstrem atau taman semula jadi, ladang, akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial; aktiviti pelancongan minat khas (golf, selam skuba, basikal, kapal layar) dan sebagainya juga dibenarkan.

Selain itu, turut dibenarkan adalah aktiviti Eko Geo-Kembara (memerhati, teroka gua, mendaki gunung, 'white water rafting', treking hutan, berkhemah dan sebagainya.

Turut dibenarkan beroperasi adalah premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan sebagainya.

Taman tema dan pusat hiburan keluarga mahu pun program lawatan bersifat akademik seperti Geopark Discovery Center, Balai Seni, Laman Padi turut dibenarkan.

"Tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang sudah lengkap divaksinasi.

"Selain itu, perlindungan insuran dan saringan Covid-19 juga adalah tidak diwajibkan, " katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib pula berkata, hampir semua produk pelancongan di pulau itu dijangka dibuka kepada pelancong dan tertakluk kepada SOP MKN.

Kata Nasaruddin, pihaknya menjangkakan kira-kira 5,000 pelancong akan mengunjungi Langkawi setiap hari mulai hari ini (16 September) sama ada melalui perkhidmatan feri di Kuala Kedah di sini dan Kuala Perlis, Perlis atau penerbangan.

"Kita juga jangka ada SOP tertentu di terminal feri dan lapangan terbang, jadi pelancong diminta untuk merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan.

"Sebaiknya, buat tempahan untuk tiket perjalanan dan produk pelancongan di Langkawi secara dalam talian," katanya.

GEOPARK Discovery Center turut dibenarkan dibuka kepada pengunjung dengan SOP yang ditetapkan.
GEOPARK Discovery Center turut dibenarkan dibuka kepada pengunjung dengan SOP yang ditetapkan.

Sementara itu, pembukaan sektor pelancongan di Pulau Langkawi nyata dapat menghidupkan semula ekonomi domestik pulau peranginan itu.

Ini kerana Pulau Langkawi 'mati' sejak pandemik Covid-19 melanda apabila sektor pelancongan yang menjadi nadi utama ekonomi lumpuh ekoran penutupan kepada pelancong.

Destinasi pelancongan yang lain di negara ini akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus populasi dewasa.

KEINDAHAN pantai di Pulau Langkawi menggamit pelancong.
KEINDAHAN pantai di Pulau Langkawi menggamit pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 7:01 AM