Suraya Roslan


Kuala Perlis: Orang ramai mula membiasakan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan untuk memasuki Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

Dengan kawalan dan pemeriksaan ketat pihak berkuasa di pintu masuk Pulau Langkawi seperti di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis, di sini, mendedahkan orang ramai dengan pematuhan SOP yang tinggi.

Bagi pelancong dari Sungai Petani, Kedah, Azizi A Wahab, 41, berkata, kawalan dan pemeriksaan ketat dilakukan pihak berkuasa selain perlu melakukan ujian saringan Covid-19 membuatkannya lebih selamat.

"Kita tidak tahu varian lain yang mudah merebak, eloklah kawalan ketat dilakukan pihak berkuasa. Saya rasa lebih selamat apabila pelancong yang betul-betul negatif saja dibenarkan masuk," katanya.

Dia yang melancong bersendirian berkata, usaha kerajaan dengan membuka sektor pelancongan sangat dihargai.

"Kita sudah lama terkurung, saya pergi Pulau Langkawi untuk menenangkan fikiran dan melepaskan tekanan selepas penat bekerja," katanya.

Selain itu, bagi kakitangan Jabatan Perhutanan Perlis ini, Hefisalini Ali, 41, berkata, bagi mereka yang perlu bekerja, ujian saringan Covid-19 tidak perlu dilakukan.

"Saya mencadangkan supaya laluan khas dibuat khusus untuk mereka yang bekerja di pulau ini. Langkah ini lebih selamat dan cepat bagi mengelak bercampur dengan pelancong yang ingin memasuki Pulau Langkawi," katanya yang berasal dari Jitra, Kedah.

ORANG ramai mengamalkan SOP yang telah di tetapkan untuk masuk ke Pulau Langkawi mengunakan perkhidmatan feri di Teminal Feri Penumpang Kuala Perlis. FOTO ROHANIS SHUKRI
ORANG ramai mengamalkan SOP yang telah di tetapkan untuk masuk ke Pulau Langkawi mengunakan perkhidmatan feri di Teminal Feri Penumpang Kuala Perlis. FOTO ROHANIS SHUKRI

Tinjauan Harian Metro di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis mendapati, kawalan ketat dilakukan pihak polis dengan memeriksa surat kebenaran rentas negeri selain diwajibkan membuat ujian saringan Covid-19 serta diwajibkan mengisi pendaftaran penumpang sebelum berlepas menaiki feri.

Malah, orang ramai juga mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka dua lapisan sebagai langkah keselamatan.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berpuas hati dengan projek rintis Gelembung Pelancongan pertama di negara ini, Pulau Langkawi mula menunjukkan kejayaan sejak dibuka pada Khamis lalu apabila merekodkan kedatangan pelancong seramai 9,500 orang.

Setakat ini, tiada kes Covid-19 direkodkan dalam kalangan pelancong seperti dimaklumkan Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo baru-baru ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebelum ini menyasarkan kira-kira 200,000 pelancong domestik berkunjung ke Langkawi dari 16 September hingga Disember 2021 selepas industri pelancongan pulau itu dibuka semula di bawah projek rintis gelembung pelancongan.

Motac juga menyasarkan kira-kira 30,000 pelancong berkunjung ke pulau peranginan itu sepanjang September.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 12:07 PM