AKTIVITI santai selesa tanpa perlu ke tempat sesak.
AKTIVITI santai selesa tanpa perlu ke tempat sesak.
Hafiz Ithnin

Sejak pembukaan semula Pulau Langkawi sebagai projek rintis Gelembung Pelancongan bermula16 September lalu, ia menjadi topik 'rancak' dibualkan di media sosial.

Meskipun ramai antara kita sudah mengetahui mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan seperti golongan dewasa sudah lengkap dua dos vaksin dan melakukan ujian saringan sebelum ke sana, sebenarnya pemain industri seperti pihak hotel juga mempunyai SOP mereka tersendiri.

Pengalaman penulis ketika berpeluang menginap di Ambong Ambong Rainforest Retreat yang dibina pada 2011 itu menawarkan penginapan penuh privasi kepada pengunjung.

Pemilik Bersama dan Pengarah Urusannya, Amran Ahmed berkata, sebagai pemain industri sememangnya pengumuman oleh kerajaan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis Gelembung Pelancongan amat dinantikan.

KOLAM mandi peribadi.
KOLAM mandi peribadi.

Jelasnya, dengan pengumuman yang dibuat bersandarkan kepada SOP umum yang perlu dipatuhi oleh orang ramai, ia membantu mengurangkan risiko penularan Covid-19 di pulau pelancongan itu.

"Namun, kita juga mempraktikkan SOP dalaman supaya tetamu lebih merasa selamat apabila menginap di sini dan pastinya keselesaan menjadi keutamaan.

"Selain itu pelaksanaan SOP dalaman yang dilaksanakan kami juga bagi membantu mengurangkan risiko kepada pekerja sendiri," katanya.

Ketika penulis mengunjungi resort itu, ternyata kakitangannya meminimumkan pertemuan secara bersemuka dengan pengunjung.

Selain itu, ketika penulis tiba dan selesai membuat pembayaran, kunci bilik dimasukkan di dalam sampul surat dan hanya diletakkan di atas dulang.

Begitu jelas, tertera makluman, 'kunci ini sudah disanitasi' dan hanya tetamu bilik itu sahaja dibenarkan untuk memegangnya ketika proses daftar masuk. Malah, di luar bilik juga sudah tertera 'bilik ini sudah disanitasi.'

RUANG makan yang mengikuti SOP.
RUANG makan yang mengikuti SOP.

Tidak sekadar itu, kebiasaannya apabila tetamu menginap di resort, kakitangan akan masuk ke bilik untuk memberi taklimat mengenai beberapa perkara seperti fungsi suis dan tempat simpanan barangan.

Tetapi, dalam norma baharu ini, kakitangan resort itu tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik tetamu dan hanya memberi taklimat dari luar sahaja demi memastikan keadaan bilik 'tidak dicemari' orang lain selain tetamu itu sendiri.

Sebelum kakitangan resort itu meninggalkan penulis, mereka juga memaklumkan bahawa tidak dibenarkan untuk membawa tetamu asing lain ke dalam bilik berkenaan, kecuali yang berdaftar dengan mereka sahaja.

Sengaja penulis 'memujuk' pekerja di resort itu untuk membawa orang lain ke bilik untuk mengadakan perbincangan kerja, dengan tegas dia mengatakan, tidak dibenarkan dan ia adalah SOP yang perlu mereka patuhi untuk keselamatan bersama.

Amran berkata, SOP dalaman yang dipraktikkan itu adalah untuk memastikan mereka dapat mengawal keadaan percutian dalam norma baharu dan mengurangkan risiko penularan musuh yang sukar dilihat itu.

BILIK tetamu yang sudah disanitasi.
BILIK tetamu yang sudah disanitasi.

"Meskipun amalan ini mungkin tetamu perlu mengambil masa menyesuaikannya tetapi kita perlu faham bahawa tempat penginapan adalah lokasi penting untuk pelancong merasa selamat.

"Kami juga bersyukur kerana Ambong Ambong tidak banyak mempunyai ruang umum untuk tetamu berkumpul kerana setiap bilik mempunyai kemudahan tersendiri yang boleh memberi keselesaan seperti kolam mandi peribadi," katanya.

Pada hemat penulis, praktik SOP dalaman oleh pemain industri sememangnya perlu dan amat membantu pengunjung rasa lebih selamat.

Mungkin, ia juga boleh dijadikan amalan baharu oleh pemain industri penginapan setempat bagi menjayakan projek gelembung pelancongan perintis ini.

SEGALA peralatan di dalam bilik hanya boleh digunakan tetamu sahaja.
SEGALA peralatan di dalam bilik hanya boleh digunakan tetamu sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 6:25 AM