Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Gelembung pelancongan di Langkawi yang bermula hari ini memberi impak positif terhadap pemain industri terutama agensi pelancongan yang menerima tempahan di luar jangkaan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, rata-rata tempahan pakej aktiviti ke Langkawi habis ditempah pelancong tempatan.

Katanya, ada pengendali pelancongan terpaksa menolak tempahan berlebihan (overbooked) kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kapasiti 50 peratus sahaja.

"Tempahan tempat penginapan juga sudah mula beransur pulih bagi semua kategori penginapan, malah tempahan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) tadi pagi ke Langkawi juga penuh.

"Ramai pengunjung yang sudah mula masuk sejak semalam lagi. Pakej pelancongan aktiviti di Langkawi juga overbooked dan ramai pelancong yang tidak dapat slot tempahan.

"Agensi pelancongan perlu akur dan mengikuti syarat kapasiti untuk feri dan kapal terbang iaitu 50 peratus penumpang, walaupun mereka sudah lengkap dua dos dan negatif ujian saringan Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun secara keseluruhannya, Khalid berkata, semua pengendali pelancongan termasuk peniaga kecil seperti kedai makan melahirkan rasa kesyukuran kerana sudah boleh menerima pengunjung selepas lama tidak dibenarkan beroperasi.

"Kami melihat cahaya kembali bersinar bagi penggiat industri pelancongan di Langkawi. Rata-rata saya melihat wajah keriangan terpancar menyambut baik projek perintis bagi sektor pelancongan domestik negara.

"Selaku Presiden Mata, saya sendiri mengalami pengalaman sebagai penumpang projek perintis ini, dengan mengambil peluang untuk meninjau dengan lebih dekat mengenai prosedur dan tata cara bagi gelembung pelancongan domestik.

"Semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya terpaksa melalui proses saringan kesihatan Covid-19 RTK yang hanya dimaklumkan lewat petang semalam.

"Ini sedikit sebanyak melambatkan proses daftar masuk penumpang ke pesawat dan dari tinjauan, saya dapati proses saringan Covid-19 RTK perlu diperkemaskan dan sentiasa siap siaga bagi menerima penumpang yang akan berlepas ke Langkawi bagi tujuan pelancongan," katanya.

GAMBAR fail, Pulau Langkawi yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Pulau Langkawi yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan. FOTO NSTP

Beliau berkata, bagi penggiat industri pelancongan di Langkawi, dinasihati agar mereka sudah lengkap divaksin, patuhi SOP yang disediakan dan sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan terbaik bagi pengunjung yang datang ke Langkawi.

"Saya ingin mencadangkan satu jawatankuasa khas perlu dibentuk antara badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di Langkawi yang akan mengkaji dan memberi maklum balas bagi tujuan bersama memperbaiki kekurangan serta mutu perkhidmatan bagi projek perintis ini.

"Apa yang saya amati di sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke tempat penginapan, Pulau Langkawi ini seolah-olah belum lagi bersedia menerima pelancong dengan landskap yang tidak dijaga dengan rapi contoh rumput yang panjang dan daun kering yang berguguran di sepanjang jalan.

"Dari segi tempat penginapan pula, saya ingin menyarankan agar mereka lebih bersedia untuk menerima tetamu dengan menyediakan minuman selamat datang, penyambut tetamu yang lengkap berpakaian seragam dan kesungguhan mereka menerima tetamu di dalam projek perintis ini.

"Hari ini adalah hari pertama bagi projek perintis gelembung pelancongan domestik, maka saya percaya maklum balas yang saya berikan ini akan disambut dengan hati terbuka oleh setiap pemain industri pelancongan di Langkawi serta dapat memperbaiki segala kekurangan yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 5:27 PM