MENAWARKAN aktiviti lasak yang boleh membantu merehatkan minda pengunjung.
MENAWARKAN aktiviti lasak yang boleh membantu merehatkan minda pengunjung.
Hafiz Ithnin

Dilaporkan pada 16 September ini, Pulau Langkawi di Kedah bakal menjadi destinasi pertama Malaysia bagi gelembung pelancongan.

Sejak April lalu, Pulau Langkawi yang menjadi destinasi pelancongan tempatan dan antarabangsa yang terkenal semestinya terkesan akibat lonjakan kes pandemik Covid-19 yang memaksa ramai pemain industri di pulau itu menghentikan operasi.

Bagi taman tema rekreasi yang menawarkan aktiviti lasak Skytrex, pengumuman kerajaan untuk membuka kembali Pulau Langkawi sebagai destinasi gelembung pelancongan sudah tentu amat diharapkan.

Pengurus Besarnya Jaslin Puasa berkata, dalam tempoh lebih empat bulan Skytrex sememangnya terkesan dengan situasi yang di luar jangka itu.

KAKITANGAN Skytrex membuat ujian keselamatan abah-abah sebelum dibuka kepada orang ramai.
KAKITANGAN Skytrex membuat ujian keselamatan abah-abah sebelum dibuka kepada orang ramai.

"Sebagai pemain industri kita perlu akur dengan keputusan kerajaan kerana ia juga demi keselamatan penduduk Langkawi, pengunjung dan kakitangan di sini.

"Apabila negara sudah hampir mencapai imuniti kelompok dan memberi syarat hanya mereka yang sudah lengkap vaksinasi dibenarkan untuk mengunjungi Pulau Langkawi, ia seakan-akan memberi nafas baharu kepada kami untuk terus beroperasi dan menggalakkan kembali sektor pelancongan negara," katanya.

KAKITANGAN giat melakukan aktiviti menaik taraf peralatan yang rosak kerana lama tidak digunakan.
KAKITANGAN giat melakukan aktiviti menaik taraf peralatan yang rosak kerana lama tidak digunakan.

Jaslin berkata, dalam tempoh lebih empat bulan tidak beroperasi, Skytrex yang amat dikenali sebagai taman tema berhalangan untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak sudah tentu melaksanakan kerja membaik pulih dan menyusun strategi supaya pengunjung dalam keadaan selamat.

"Sebagai perintis taman tema rekreasi berkonsepkan aktiviti tali tinggi, keselamatan pengunjung menjadi objektif utama kerana kita tidak mahu sebarang kerosakan memberi kesan buruk kepada pengunjung.

"Jadi, dalam tempoh dua minggu sebelum beroperasi, kami sudah menjalankan kerja membaik pulih sekiranya terdapat laluan rosak atau perlu ditambah baik," katanya.

HANYA kakitangan lengkap vaksinasi dibenarkan menjalankan tugas.
HANYA kakitangan lengkap vaksinasi dibenarkan menjalankan tugas.

Katanya, dalam tempoh lebih empat bulan tidak beroperasi Skytrex mendapati 84 halangan yang ditawarkannya merangkumi tiga laluan berbeza iaitu 'Little Lagend,' 'Engle Traill' dan 'Island Extreme' hanya memerlukan 10 peratus kerja menaik taraf.

"Dalam tempoh kami tidak dapat beroperasi, keadaan laluan berhalangan yang menjadi tarikan pengunjung untuk beriadah tidak mengalami kerosakan besar.

"Hanya demi memastikan keselamatan, kerja pemeriksaan laluan yang dijalankan secara berkala selain perlu diberi perhatian dalam tempoh dua minggu ini," katanya.

Katanya, sempena pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi gelembung pelancongan mereka turut menawarkan harga promosi kepada pengunjung dengan potongan harga sehingga 30 peratus harga tiket.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) katanya, sebagai taman tema perkara itu sudah tentu menjadi keutamaan kerana ia penting untuk keselamatan bersama.

"Antara SOP yang perlu kami ikuti pelancong wajib sudah lengkap dua dos vaksinasi dan jumlah pengunjung juga dihadkan mengikut arahan pihak berkuasa.

PEKERJA disanitasi menjadi SOP Skytrex.
PEKERJA disanitasi menjadi SOP Skytrex.

"Kakitangan juga akan memastikan semua pengunjung tidak melanggar SOP ditetapkan dan kami juga hanya membenarkan pekerja yang sudah lengkap dua dos vaksin sahaja untuk menjalankan tugas," katanya.

Jaslin menambah, Skytrex Langkawi menawarkan aktiviti riadah lasak yang mengujakan kerana mereka melihat selepas beberapa bulan orang ramai tidak dapat melancong, sudah pasti memberi tekanan.

"Di sini, kami menawarkan aktiviti tali tinggi yang amat mencabar dan melihat ia boleh menjadi terapi kepada pengunjung untuk melepaskan tekanan emosi akibat pendemik ini. Sekali gus dapat menjaga kesihatan mental," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 7:00 AM