Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my


Ipoh: Sasaran 80 peratus populasi dewasa di Pulau Pangkor divaksin sudah dicapai, sekali gus menepati syarat utama bagi pembukaan pulau peranginan itu untuk gelembung pelancongan domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, pihaknya menunggu 'lampu hijau' Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi pembukaan Pulau Pangkor kepada pelancong.

Beliau berkata, mesyuarat sekretariat penyelarasan untuk prosedur operasi standard (SOP) di Pulau Pangkor diadakan Selasa lalu dan kini dalam peringkat penyediaan untuk diserahkan kepada Motac munggu depan.

"Antara yang dibincangkan ialah senarai semak SOP pemeriksaan kesihatan di pintu masuk biarpun vaksinasi 80 peratus penduduk pulau itu sudah kita capai, selain kaedah bagaimana ingin mengawal kesesakan di pintu masuk," katanya kepada pemberita pada Program Derma Darah Persatuan Pelancongan Negeri Perak (PTA) di Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden PTA, Datuk Mohd Odzman Abd Kadir.

Nolee Ashilin berkata, selain dibuka secara gelembung hijau pelancongan, pihaknya turut bersedia jika pulau peranginan itu dibuka sekiranya rentas antara negeri dibenarkan.

"Sama ada secara gelembung atau tidak, memang kita sedia untuk buka sepenuhnya Pulau Pangkor dengan kelulusan oleh MKN dan Motac," katanya.

DATUK  Nolee Ashilin Mohamed Radzi, (bertudung biru) ketika menyantuni penderma darah. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
DATUK Nolee Ashilin Mohamed Radzi, (bertudung biru) ketika menyantuni penderma darah. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Katanya lagi, modul sama yang diguna pakai oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dalam penerapan SOP gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, diterapkan bagi pembukaan Pulau Pangkor untuk memastikan keselamatan pengunjung ke pulau itu terjamin.

Julai lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, Pulau Pangkor akan mencapai 80 peratus tahap imuniti kelompok menjelang awal September 2021 bagi layak menjadi sebahagian daripada projek rintis Program Covid-19 Free Destination oleh kementeriannya.

Susulan itu, Nolee Ashilin sebelum ini menjangkakan Pulau Pangkor akan dibuka untuk gelembung hijau pelancongan domestik pada 1 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 1:57 PM