Hamzah Osman


Langkawi: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yakin tempahan hotel di pulau legenda ini akan terus meningkat Isnin ini, sebaik perkhidmatan feri penumpang melalui Terminal Kuala Kedah dapat beroperasi semula.

Operasi feri bagi laluan itu dihentikan sementara selepas terminal itu menjadi sebahagian lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah selama 14 hari bermula 6 September lalu.

PKPD Kuala Kedah dijangka tamat Ahad ini, sekali gus membolehkan operasi terminal dibuka seperti biasa kembali kepada orang ramai.

Ketika ini, hanya perkhidmatan feri ke Langkawi melalui Kuala Perlis dibuka kepada pengunjung.

Naib Pengerusi MAH Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat berkata, rekod sebelum ini menunjukkan perkhidmatan feri menjadi pengangkutan pilihan utama pelancong berkeluarga untuk bercuti ke Langkawi.

"Rekod semasa menunjukkan kadar tempahan hotel berstatus lima bintang di Langkawi telah mencecah sehingga 80 peratus dan bagi hotel empat bintang ke bawah di sekitar 30 peratus.

"Tempahan hotel lima bintang lebih tinggi kerana menjadi pilihan pengunjung berkemampuan yang tidak dapat melancong ke luar negara," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas mengenai persiapan industri perhotelan Langkawi, Razmi berkata, pihaknya berada dalam siap siaga dan semua fasiliti termasuk bilik penginapan sudah disanitasi sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Semua hotel tidak bertolak ansur dengan SOP termasuk mewajibkan pengunjung mengimbas aplikasi MySejahtera dan menggunakan cecair pembasmi kuman, malah ada yang menyediakan sinki di luar lobi bagi memudahkan pengunjung membasuh tangan.

"Kakitangan pembersihan juga akan segera melakukan sanitasi pada bilik penginapan sebaik pengunjung mendaftar keluar, bagi menjamin keselamatan pengunjung baharu yang mendaftar masuk ke bilik sama," katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, semua hotel hanya menerima pengunjung yang lengkap divaksin.

PENDUDUK tempatan menjamu selera di kedai makan yang mula beroperasi di Pulau Langkawi. Rata-rata penduduk tempatan Pulau Langkawi meluangkan masa mengunjungi dan bersantai di persisiran Pantai Chenang sebelum pulau pelancongan ini dibuka semula kepada pengunjung dari seluruh negara melalui Gelembung Pelancongan Langkawi yang akan menerima kemasukan pengunjung pada 16 September ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
PENDUDUK tempatan menjamu selera di kedai makan yang mula beroperasi di Pulau Langkawi. Rata-rata penduduk tempatan Pulau Langkawi meluangkan masa mengunjungi dan bersantai di persisiran Pantai Chenang sebelum pulau pelancongan ini dibuka semula kepada pengunjung dari seluruh negara melalui Gelembung Pelancongan Langkawi yang akan menerima kemasukan pengunjung pada 16 September ini. FOTO Luqman Hakim Zubir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:13 PM