Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sempena Gelembung Pelancongan Projek Rintis Pulau Langkawi bermula 16 September ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, SOP berkenaan terhad kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksinasi.

Katanya, jenis percutian dibenarkan ialah secara harian iaitu pergi dan pulang pada hari yang

sama, bermalam, percutian dengan tempahan penginapan atau tiket masuk yang dibuat terlebih dahulu.

Menurutnya, ia juga termasuk percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan kementerian.

"Bilangan penumpang setiap kenderaan semasa dalam perjalanan adalah tertakluk kepada kapasiti sebenar kenderaan tersebut.

"Pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke Langkawi dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

"Pengunjung perlu menunjukkan bukti dokumen pembelian produk pelancongan seperti tiket penerbangan, tiket feri, resit hotel atau resit pakej pelancongan semasa memohon kebenaran dengan polis dan ketika diminta oleh penguatkuasa agensi pematuhan SOP," katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, pembukaan itu memberi manfaat kepada industri pelancongan termasuk pengusaha, pekerja dan keluarga mereka dengan pematuhan SOP yang sewajarnya.

"Kita buka kepada semua pelancong domestik buat masa ini, belum lagi kepada pelancong antarabangsa.

"Bagi pengunjung daripada Kedah dan Perlis, mereka tidak diwajibkan untuk mendapatkan khidmat daripada agensi pelancongan," katanya.

Beliau berkata, aktiviti Gelembung Pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel dan homestay termasuk fasiliti dalam premis hotel dan homestay seperti surau, kolam renang, gimnasium, lounge, dewan, Business Events (MICE), acara pelancongan dan Kebudayaan tertakluk kepada SOP Am Fasa 4 dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara serta SOP kementerian, jabatan atau agensi yang berkaitan.

Katanya, aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, extreme, adventure, nature parks, farms, akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial dibenarkan.

Nancy Shukri, ketika sidang media di Auditorium Mini, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Nancy Shukri, ketika sidang media di Auditorium Mini, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

"Aktiviti Pelancongan Minat Khas (golfing, scuba diving, cycling, angling, yatching dan sebagainya dibenarkan.

"Aktiviti Eko Geo-Kembara seperti bird watching, caving, mountain climbing, white water rafting, hiking, jungle trekking, camping dan sebagainya juga dibenarkan," katanya.

Menurutnya, premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat, kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain-lain juga dibenarkan.

Selain itu Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga; dan Lawatan Bersifat Akademik seperti Geopark Discovery Center, Balai Seni, Laman Padi turut dibenarkan.

Nancy berkata, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang lengkap divaksinasi.

Katanya, selain itu, perlindungan insuran serta saringan Covid-19 juga tidak diwajibkan.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran program serta menjaga kepentingan Keluarga Malaysia secara keseluruhan, MOTAC akan membuat pemantauan berhubung pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi ini dan akan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program ini secara keseluruhan dalam tempoh masa dua minggu.

"Maklum balas ini kelak akan dinilai dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan tindakan lanjut, seperti pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan yang dikenal pasti selaras dengan aspirasi MOTAC.

"Untuk maklumat lanjut boleh layari talian 03-88917189 dari 8.30 hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Ahad.

"Selain itu boleh juga menerusi talian WhatsApp 0192209965," katanya.

Beliau berkata, kadar vaksinasi di Langkawi sudah melebihi 85 peratus dan dijangka akan meningkat menjelang 16 September.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:45 PM