LOKASI kejadian yang mengorbankan dua selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 53 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI kejadian yang mengorbankan dua selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 53 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 53 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, dua penunggang motosikal yang berusia 15 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati motosikal Yamaha Y16ZR dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Krai dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, pada masa sama, datang sebuah lagi motosikal dari arah Kuala Krai menyebabkan berlaku perlanggaran secara berhadapan.

"Akibat daripada perlanggaran itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal lokasi di tempat kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan.

"Pada masa sama boleh juga berhubung dengan pegawai penyiasat trafik Insp Khairulanwar Adam di talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 1:03 PM