GILLETT dianggap  peminat Liverpool. FOTO Agensi
GILLETT dianggap peminat Liverpool. FOTO Agensi
Agensi

London: Penyokong Arsenal menyuarakan kebimbangan mereka mengenai PGMOL (Professional Game Match Officials Limited) di media sosial selepas tidak puas hati dengan pemilihan pengadil dalam perlawanan wajib menang ketika menentang Tottenham Ahad ini.

Gunners berkunjung ke tempat lawan yang juga aksi paling getir pada baki saingan liga musim ini dalam misi memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka dalam tempoh dua dekad.

Michael Oliver menjadi pengadil utama dan dibantu Stuart Burk, Dan Cook serta pegawai keempat Andy Madley.

Namun pelantikan peminat Liverpool Jarred Gillett sebagai pegawai VAR mencetuskan kerisauan dalam kalangan penyokong Gunners di media sosial.

Kebimbangan itu susulan apa yang berlaku kepada Nottingham Forest selepas tidak puas hati gagal mendapat tiga penalti ketika tewas di tangan Everton. Amaran Forest kepada PGMOL mengenai pegawai VAR Stuart Attwell yang juga seorang penyokong Luton tidak dipedulikan oleh Liga Perdana.

Seperti Forest yang sedang bersaing dengan Luton di zon penyingkiran, Arsenal dan Liverpool bersaing dalam pemburuan gelaran EPL sekali gus pemilihan Gillett sebagai pegawai VAR mencetuskan kesangsian penyokong Arsenal di media sosial.

@Rory_Talks_Ball di laman X berkata: "Spurs mln Arsenal pegawai perlawanan: Pengadil - Michael Oliver dan VAR - Jarred Gillett. Seorang didakwa sering berpihak kepada Man City musim ini, seorang lagi penyokong Liverpool. Apa dah jadi." '

Seorang lagi turut merungut: "Forest membantah penyokong Luton menjaga VAR ketika menentang Everton dan pada Ahad ini Jarred Gillett di VAR. Dia peminat Liverpool dan Liverpool mahu Arsenal tewas. Saya tak kritik sesiapa tetapi PGMOL tidak membantu diri mereka, tidak begitu?"

Manakala penyokong ketiga berkata: "Penyokong Liverpool Jarred Gillet jaga VAR untuk aksi penting utara London hujung minggu ini. Risau juga dibuatnya."

Penyokong Arsenal yang lain menulis: "Hmm, penyokong Liverpool kawal VAR. Tidakkah PGMOL belajar daripada aksi Everton mln Forest match. Saya tidak berkata Gillett sengaja berpihak kepada Spurs tetapi dia tidak sepatutnya berada di situ bagi mengelakkan integritinya dipersoalkan."

Selepas kekalahan di Goodison Park semalam, Liverpool kini ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal manakala hanya satu mata memisahkan pendahulu EPL itu dengan Man City yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 12:18 PM