Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 150 anggota polis ditempatkan di 22 lokasi tumpuan di pulau peranginan ini bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan pembukaan program rintis gelembung pelancongan, hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lokasi terbabit adalah membabitkan di sembilan pusat beli-belah, 10 tempat rekreasi dan tiga pintu masuk utama ke pulau legenda itu.

Katanya, penempatan anggota polis terbabit adalah bagi melakukan pemantauan, memberi nasihat dan seterusnya melakukan penguatkuasaan ke atas pelancong.

"Sebaik pelancong tiba, anggota kita akan memantau mereka di pintu masuk utama iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), Terminal Feri Kuah dan Dermaga Tanjung Lembung.

"Kita akan beri nasihat terlebih dahulu kepada pelancong supaya patuh SOP sepanjang masa dan jika ingkar tindakan sewajarnya boleh dikenakan," katanya pada sidang media di LTAL sini, hari ini.

Hari ini, sejumlah 3,200 pelancong dijadual masuk ke pulau peranginan ini susulan projek rintis gelemung pelancongan domestik Langkawi.

Kamarul Zaman berkata, pemantauan turut akan dilakukan kepada pelancong yang berada di tempat makan dan premis menjual makanan.

DATUK Seri Nancy Shukri (dua kanan) menyambut pengunjung yang tiba di Terminal Feri Kuah sempena pembukaan semula Pulau Langkawi. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Seri Nancy Shukri (dua kanan) menyambut pengunjung yang tiba di Terminal Feri Kuah sempena pembukaan semula Pulau Langkawi. FOTO Luqman Hakim Zubir

Sementara itu, mengulas ketibaan 159 pelancong melalui penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke LTAL pagi ini, beliau berkata, semua pelancong terbabit didapati mematuhi SOP ditetapkan.

"Pelancong yang tiba mematuhi SOP dengan melakukan imbasan kod QR menerusi aplikasi MySejahtera, selain memberi kerjasama ketika pemeriksaan sijil digital vaksinasi dilakukan.

"Pengurusan LTAL turut melakukan persiapan rapi dan memberi kerjasama baik, sekali gus memudahkan dan melancarkan pergerakan pelancong yang tiba," katanya.

Langkawi dijangka menerima sehingga 3,200 pelancong pada hari pertama pembukaan gelembung pelancong hari ini, melalui 18 penerbangan dan empat perkhidmatan feri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:46 PM