Datuk Yusof Haslam
Datuk Yusof Haslam
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Syamsul tak balik beraya dengan kami pada tahun ini. Tapi tak apa, kami tak ambil hati pun dan kami dah boleh terima benda ini. Semua ini adalah qada dan qadar.

"Tapi saya percaya dia seorang anak, kasih sayang dia pada ibu dan ayah dia tetap utuh.

Biasalah budak muda merajuk kan? Tapi kami memang tak ambil hati," kata Datuk Yusof Haslam ketika ditemui Harian Metro.

Penerbit yang terkenal dengan jolokan 'The Six Million Dollar Man' itu mengulas pertanyaan media mengenai ketiadaan anak lelakinya juga pengarah dan pelakon ketika sambutan Aidilfitri lalu.

Terdahulu pada awal Mac lalu, Yusof mendedahkan Syamsul juga tidak menghubungi kerana mungkin agak sibuk dengan pembikinan filem.

Kali terakhir dua beranak ini bertemu ialah pada 2022 iaitu ketika ibu mentua Yusof yang juga nenek Syamsul sakit.

Yusof dilaporkan berkata, dia faham dengan situasi itu kerana Syamsul mungkin sedang sibuk dengan pembikinan filem terbaru arahannya, Original Gangster yang bakal ditayangkan hujung tahun ini.

"Apa saja untuk Syamsul, saya dan ibunya sentiasa mendoakan terbaik. Tidak ada ayah atau orang tua yang mahu melihat kejatuhan anaknya," katanya.

Menurut Yusof, sebagai bapa, dia perlu matang untuk berdepan dengan situasi yang melanda keluarganya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 1:21 PM