SYAMSUL Yusof (kanan) bersama Datuk Dr Yusof Haslam. FOTO arkib NSTP
SYAMSUL Yusof (kanan) bersama Datuk Dr Yusof Haslam. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Meskipun tidak meluahkan secara terang-terangan bahawa dirinya 'kecewa', namun air mata yang menitis dengan kata-kata tersekat-sekat, cukup menggambarkan dan membuatkan kita semua sedikit memahami perasaan sebenar penerbit drama dan filem, Datuk Yusof Haslam.

Yusof dalam temubual bersama Melodi berhubung masalah perkahwinan anaknya juga pengarah filem, Syamsul Yusof berkata, beliau hanya mampu mendoakan yang terbaik dan mahu 'move on' dengan apa sudah berlaku.

"Bohonglah, saya kata tak kecewa. Tapi perasaan dan luahan hati saya tentulah tidak sama dengan isteri. Ibunya berasa sedih dan mungkin rasa marah sedikit. Saya pun berpesan dengan isteri, kita doakan yang terbaiklah.

"Kalau timbul apa-apa permasalahan selepas ini, saya harap Syamsul akan berikan penjelasan sejelas-jelasnya dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.

"Jika ditakdirkan, saya harap tak berlaku sekiranya mereka tiada jodoh, saya harap Syamsul sebagai suami harus menjalankan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak dia. Tanggungjawab suami bukan semata-mata untuk kita bagi duit saja, banyak aspek lagi," katanya.

Yusof berkata beliau juga berharap Syamsul, isteri, Puteri Sarah termasuk dirinya dan isteri akan 'move on' ke depan dan tidak boleh nak menoleh ke belakang lagi.

Katanya, sesuatu yang sudah berlaku kita harus terima, qada' dan qadar.

"Saya sebagai seorang ayah sentiasa doakan yang terbaik, itu saja. Saya tak mahu lagi cakap soal kecewalah. Syamsul, saya harap lebih bertanggungjawab kerana kehidupan ini bukan satu perkara yang mudah. Hidup ini satu perjuangan untuk pertahankan rumah tangga, pertahankan isteri.

"Jalankan tanggungjawab suami, bukan sekadar bagi duit semata-mata, tapi tanggungjawab menjaga perasaan masing-masing. Dalam rumah tangga, saya dah berkahwin dengan isteri hampir 40 tahun," katanya tidak mampu menahan tangis.

Yusof berkata, bagaimana rumahtangganya bersama isteri bertahan kerana beliau bersikap pemujuk. Katanya, jika isteri merajuk tidak boleh dibiarkan saja, berasingan dan isteri memendam rasa kerana kita manusia tidak sempurna.

Jelasnya, kalau ada masalah selesaikan dan lebih-lebih lagi sebagai suami dan imam dalam keluarga memang akan ada masalah, terutama membabitkan emosi dan perasaan, apabila isteri merajuk.

"Apabila sudah membuat kesilapan, kita mengaku silap itu. Jangan menyimpan rahsia dan insya Allah rumah tangga akan kekal. Kita tidak boleh pentingkan diri dan menganggap isteri kena dengar cakap kita 100 peratus. Isteri bukan robot, tapi insan suci di sisi kita yang melahirkan anak-anak," katanya.

Pada Jumaat lalu, Syamsul menerusi video yang dimuat naik di Instagram membuat pengumuman mengesahkan dia sudah berkahwin kali kedua dengan wanita pilihan hatinya, Ira Kazar di Thailand pada hari itu.

Majlis akad nikah pasangan itu diwalikan sendiri oleh bapa Ira iaitu pelakon veteran, Kazar Saisi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 5:01 PM