Yusof Haslam ditemui pada majlis perasmian Al Aqsa Carpets Factory Outlet. FOTO ROHANIS SHUKRI
Yusof Haslam ditemui pada majlis perasmian Al Aqsa Carpets Factory Outlet. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: "Dia tak berhubung dengan kami, mungkin dia sibuk dengan pembikinan filem," kata Datuk Yusof Haslam mengenai anaknya yang juga pengarah popular, Syamsul Yusof.

Kali terakhir dua beranak ini bertemu ialah pada 2022 iaitu ketika ibu mentua Yusof yang juga nenek Syamsul sakit.

Yusof ketika ditemui berkata, dia faham dengan situasi itu kerana Syamsul mungkin sedang sibuk dengan pembikinan filem terbaru arahannya, Original Gangster yang bakal ditayangkan hujung tahun ini.

"Apa saja untuk Syamsul, saya dan ibunya sentiasa mendoakan terbaik. Tidak ada ayah atau orang tua yang mahu melihat kejatuhan anaknya," katanya.

Menurut Yusof, sebagai bapa, dia perlu matang untuk berdepan dengan situasi yang melanda keluarganya ini.

"Sebagai bapa, bila anak bersikap begitu, saya tak boleh bersikap sama. Kita serah pada Allah SWT untuk menentukannya.

"Saya rasa tak ada anak yang tak sayang ibu bapanya. Mungkin dia masih merajuk atau terkilan lagi. Kita dah nak menyambut Ramadan dan Aidilfitri, jadi sentiasalah doakan terbaik kerana setiap kejadian berlaku kita tak boleh ubah takdir," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Al-Aqsa Factory Outlet milik pelakon, Dazrin Kamaruddin, di sini, hari ini.

Yusof berkata, dia juga enggan mengeluarkan kenyataan lanjut bagi menjaga hati beberapa pihak terutama isteri, Datin Patimah Ismail.

"Saya tak mahu komen lebih nanti ada pihak merajuk. Saya nak jaga hati semua orang terutama isteri. Saya tak mahu hubungan saya dengan isteri menjadi keruh hanya kerana benda ini.

"Harapnya ada kejernihan dalam hubungan kekeluargaan kami, Insya-Allah," katanya.

Terdahulu, Yusof mendedahkan anak lelakinya itu sudah lama tidak pulang ke rumah tanpa mengetahui punca sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 3:41 PM