Pengarah, Syafiq Yusof. FOTO Aziah Azmee
Pengarah, Syafiq Yusof. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pengarah Syafiq Yusof, 31, enggan masuk campur atau terbabit dalam isu rumah tangga abangnya, Syamsul Yusof.

Sebaliknya Syafiq mendoakan kebahagiaan dan ketenangan kedua ibu bapanya serta Syamsul dan keluarga dalam kehidupan berumah tangga.

"Itu saja saya mampu doakan. Sebagai adik, saya rasa tak patut untuk masuk campur. Sebaiknya saya harus mendoakan yang terbaik untuk abang saya," katanya yang ditemui di prebiu drama bersiri arahannya berjudul Special Force Anarchy terbitan Disney Hotstar dan Skop Productions, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia juga baru mengetahui perkahwinan kedua abangnya dengan Ira Kazar menerusi keluarganya.

"Saya doakan abang dapat penyelesaian yang terbaik. Abang memang duduk berasingan dan kami hanya berjumpa masa Hari Raya.

"Dia tak cerita hal peribadi kepada saya dan kebanyakannya kami bersembang fasal filem dan kerja.

"Saya tidak pernah bertemu isteri kedua Syamsul. Saya juga tidak tahu dan tak pasti sama ada ibu bapa saya dah jumpa dia (Ira)," katanya.

Baginya, kalau boleh hal keluarga sepatutnya menjadi isu peribadi tetapi dia memahami keluarganya orang seni.

"Jadi kita terpaksa terima perkara ini. Tapi saya rasa untuk orang yang berfikiran waras, boleh tahu dalam internet ia bercampur ada yang betul dan tak betul.

"Kebanyakannya fitnah. Kalau boleh juga saya tak mahu kedua-dua pihak panjangkan perkara ini di media sosial. Sebab hal keluarga dan saya rasa semua keluarga dalam dunia ini ada masalah.

"Tapi apabila masuk di internet, ia akan jadi lagi parah. Saya harap benda ini berakhir dengan cepat dan semua dapat penyelesaian," katanya.

Syafiq berkata, dia juga memilih untuk tidak bercakap apa-apa kerana tidak mahu mana-mana pihak tersinggung.

"Saya juga harap ayah saya dapat bertabah dalam perkara ini. Saya dan Syamsul masing-masing sibuk. Macam saya cakap saya membesar dalam keluarga filem.

"Topik-topik yang kami bualkan berkenaan filem. Dia pun ada banyak filem besar. Saya juga sibuk dengan projek filem sendiri.

"Mengenali abang saya, dia seorang yang tabah. Dia macam ayah saya. Walaupun ada masalah kerja tetap berjalan. Saya percaya dia mampu tanganinya," katanya yang kali terakhir berjumpa abangnya dua bulan lepas di pejabat Skop Productionas.

Syafiq berharap masyarakat tidak membuat andaian yang bukan-bukan terhadap isu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 6:23 PM