DINA mempersembahkan lagu-lagu nyanyian asal penyanyi lelaki dalam showcase Dina Nadzir: Pencinta Lelaki.
DINA mempersembahkan lagu-lagu nyanyian asal penyanyi lelaki dalam showcase Dina Nadzir: Pencinta Lelaki.
Najiy Jefri


SELEPAS kembali mencipta nama menerusi penyertaannya dalam program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Dina Nadzir nekad menyusun langkah dan terus aktif sebagai penyanyi.

Dina mengadakan showcase Dina Nadzir: Pencinta Lelaki yang turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial baru-baru ini dari Warisan Hall Studio, Teluk Panglima Garang, Selangor.

Dihoskan oleh rakan sekerjanya di Sinar FM, Falyq Hykal, showcase berkenaan menyaksikan penyanyi itu menyampaikan himpunan lagu pilihan peribadinya.

Persembahan itu memperlihatkan kebolehan pemilik nama sebenar Faradina Mohd Nadzir yang terbukti mampu menyanyikan pelbagai genre lagu terutamanya lagu yang disampaikan oleh penyanyi lelaki.

Acara berlangsung selama lebih satu jam itu diiringi band muzik secara langsung diketuai abang kandungnya sendiri sebagai pengarah muzik.

Dina berkata, dia bersyukur apabila perancangan mengadakan konsert akhirnya terlaksana.

"Alhamdulillah syukur selepas beberapa bulan kami merancang untuk mengadakan showcase ini sejak

bulan Oktober tahun lalu akhirnya berjalan lancar.

"Kami terpaksa menangguhkan tarikh showcase ini di atas beberapa kekangan termasuklah penyertaan saya di Gegar Vaganza tahun lalu.

"Tujuan saya mengadakan showcase Dina Nadzir: Pencinta Lelaki ini bagi menghargai peminat-peminat saya dan orang-orang belakang tabir yang tak putus menyokong saya dari awal kemunculan saya di Malaysia Idol sehingga ke GV9.

"Saya ingin berkongsi rasa dengan peminat dan juga penonton menerusi setiap lagu yang saya sampaikan. Saya harap melalui showcase berskala kecil ini mampu memberi semangat kepada saya dan mengubati rindu peminat," katanya.

Menurut Dina, showcase yang diberi nama Pencinta Lelaki menceritakan bagaimana kehidupannya banyak dipengaruhi oleh insan bernama lelaki yang menjadikan dirinya sebagai Dina Nadzir.

"Lelaki yang dimaksudkan itu adalah arwah bapa saya dan adik-beradik lelaki. Selain berkongsi kenangan saya sewaktu belajar di Universiti Teknologi Mara dahulu.

"Saya harap showcase ini menjadi permulaan yang baik dan membawa saya ke laluan yang lebih besar selepas ini," katanya.

Tambah Dina, kumpulan 4Forty yang sebelum ini dikenali sebagai kumpulan VE tampil sebagai artis jemputan di showcase itu.

Katanya, persahabatan yang terjalin ketika menyertai program realiti itu menguatkan silaturahim antara mereka.

Antara lagu dipersembahkan Dina adalah Dalam Gerimis nyanyian kumpulan Visa, Naluri Lelaki (Samsons), Rahasia Perempuan (Ari Lasso) serta Come Together (The Beatles).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 6:55 AM