Dina Nadzir
Dina Nadzir
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Dina Nadzir menerima dengan hati yang terbuka komen daripada juri tetap Datuk Ramli MS yang sudah dianggap sebagai guru.

Jelas Dina, dia juga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan selepas mendapat teguran mengenai persembahannya pada konsert Gegar Vaganza 9 (GV9) malam tadi.

"Sejujurnya saya sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan pada malam tadi. Selepas memberikan yang terbaik, saya juga terbuka dengan sebarang komen dan kritikan yang diberikan.

"Sebab saya okay, dah bersedia memang adat bertanding. Kalau orang buat persembahan dan pemarkahan rendah, kita memang kena keluar. Jadi, saya memang akur.

"Tak (terasa hati), bila Tok Ram (Datuk Ramli MS) cakap atau komen kita kena terima la sebab dia sebagai seorang guru. Jadi, apa-apa pun yang dia cakap kita kena terima.

"Sebab kalau kita tak terima, bila kita nak belajar. Saya memang tak pernah terasa hati dengan komen Tok Ram," katanya.

Terdahulu, Dina yang menyampaikan lagu Hijau nyanyian asal penyanyi Datuk Zainal Abidin di malam konsert minggu kelapan GV9 menerima markah 60.60 peratus.

Nasib menyebelahi Dina apabila tiada penyingkiran pada minggu kelapan biarpun Ramli MS memberi komen mengatakan dia memberi markah rendah untuk persembahan itu.

GV9 yang mula bersiaran 18 September dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein sebagai pengacara.

Program realiti itu membuat kejutan apabila pertandingan ditambah satu minggu lagi. Pentas akhir GV9 sepatutnya diadakan pada 20 November ini namun dianjakkan pada minggu berikutnya iaitu 27 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 2:32 PM