Ridzuan Abdul Rahman


Shah Alam : Penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir sudah menjangka dia tidak akan ke pentas akhir Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), Ahad depan.

Ia berikutan persembahannya yang kurang memuaskan akibat masalah kesihatan iaitu kecederaan pada kotak suara.

"Saya jangka akan tersingkir pada minggu ke lima atau enam. Sejak minggu itu saya tenang-tenang saja. Secara peribadi, kita boleh sukat sejauh mana tahap kemampuan kita dari aspek kebolehan nyanyian, tenaga dan kesihatan.

"Jadi saya jangka memang tidak ke final. Saya seorang yang realistik dan sedar diri. Itulah buat orang geram dengan saya. Mereka percayakan saya, tapi pada masa sama saya seorang yang realistik," katanya dalam sidang media selepas Konsert Separuh Akhir GV9 di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi.

Menurutnya, dia juga tidak ralat gagal menempah tiket ke pentas akhir bersama enam peserta lain.

"Saya juga menafikan kenyataan saya terlampau cepat mengalah dan tidak menunjukkan semangat juang yang tinggi. Saya dah berjuang dengan sehabis baik. Lagu-lagu yang saya bawakan juga kebanyakannya tidak mudah. Saya berusaha membuktikan perjuangan saya sehingga kotak suara mengalami kecederaan serius.

"Masalah ini dah berlarutan agak lama dan 'vocal cord' (pita suara) saya memang dah rabak. Kalau orang lain mungkin dah lama tarik diri. Kesakitan itu saya ketepikan. Macam kita main bola, kaki dah patah tapi kita lari lagi. Itu yang saya alami sekarang.

"Kalau itu bukan berjuang lagi, tak tahulah nak cakap apa. Saya pun dah berjumpa dengan Shafinaz dan dia menasihatkan saya jumpa doktor pakar dan kena berehat selama dua bulan," katanya.

Selain Dina, turut tersingkir ialah Fuad Rahman. Konsert separuh akhir GV9 itu menyaksikan enam bintang akan berentap merebut gelaran juara.

Mereka ialah Jaclyn Victor, Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Hazrul Nizam dan VE.

Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan naib juara pula akan meraih RM50,000.

Hadiah di tempak ketiga ialah wang tunai RM30,000 manakala tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 1:18 PM