DINA NADZIR
DINA NADZIR
Norhayati Nordin


PENYANYI dan penyampai radio, Dina Nadzir, 35 mengakui masalah berat badan dihadapinya berpunca daripada tabiat pemakanan tak dijaga.

Menurut Dina, dia sangat suka makan makanan ringan dan coklat hingga kurang dikawal.

“Sejak zaman persekolahan lagi, saya memang suka makan jajan (makanan ringan) dan coklat.

“Tabiat pemakanan tak dijaga ini mendorong berat badan saya naik mencecah lebih 100 kilogram,” katanya.

Namun, menurutnya dia akur perlu kuatkan diri untuk meninggalkan tabiat pemakanan berkenaan.

“Saya akui agak sukar juga untuk meninggalkan tabiat makan jajan dan coklat ini kerana sudah biasa.

“Bagaimanapun, saya harus nekad melupakannya (jajan dan coklat) kerana kini mengikuti sesi menurunkan berat badan.

“Alhamdulilah, walau pun pada mulanya agak sukar meninggalkan tabiat itu tetapi sekarang sudah tiada masalah lagi,” katanya.

Dina atau nama sebenar Faradina Mohd Nadzir turut berharap dia dapat menurunkan berat badannya sehingga 80 kilogram.

Pernah popular dengan lagu Cinta Datang Lagi, Dina berkata dia sebenarnya rindu mahu tampil dengan lagu baru.

“Saya berhasrat nak aktif menyanyi semula, namun dalam hati, selalu terlintas persoalan bolehkah saya melakukannya lagi kerana berasa diri sudah tua.

“Apatah lagi bila bekerja di stesen radio, saya tahu perkembangan ‘trend’ muzik yang berlaku. Saya bimbang lagu tak diterima,” katanya

Apapun, Dina berkata abangnya ada mencipta sebuah lagu baru berentak balada buat dirinya dan lirik pula ditulis oleh kakak ipar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 3:52 PM